ZenMarket ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pelanggan yang masih setia bersama kami dan memberikan sokongan yang berterusan sepanjang tempoh getir ini.
Kami ingin memaklumkan berita gembira kepada para pelanggan bahawa masalah utama yang mengakibatkan kelewatan pemprosesan di gudang ZenMarket telah berjaya diselesaikan, dan sekiranya semuanya berjalan lancar, kami menjangka bahawa isu kelewatan yang berlaku akan beransur pulih dan operasi kami akan kembali normal pada penghujung bulan Julai ini.
Pihak ZenMarket telah mengambil beberapa langkah penyelesaian yang telah membantu kami untuk menangani masalah ini dan mempercepat operasi di gudang, antaranya:
- penstrukturan semula susun atur gudang kami secara menyeluruh untuk membolehkan penyimpanan, pengambilan dan pembungkusan barang-barang yang lebih efisien dan sistematik (maklumat lanjut di sini)
- penstrukturan semula organisasi gudang (pembahagian kerja) serta pengemaskinian sistem gudang untuk mengendalikan permintaan-permintaan baharu, di samping memastikan bahawa terdapat kakitangan yang bertanggungjawab untuk sebarang kelewatan dalam setiap tahap proses yang dilalui oleh sesebuah item daripada tempoh ia tiba di gudang, sehinggalah dikirimkan ke luar Jepun
- pengambilan serta latihan tenaga kerja tambahan (sekumpulan pekerja baharu juga akan ditambah tidak lama lagi) untuk memastikan bahawa kami mempunyai kakitangan yang cukup ketika mengalami masalah yang tidak dijangka
- penambahan syif baru serta hari dan jam kerja kakitangan gudang untuk menyelesaikan pembungkusan item yang terkumpul banyak
- penambahan kaedah pengiriman (DHL eCommerce, Pony Express, ECMS) bagi meningkatkan jumlah pengiriman bungkusan-bungkusan yang terkandas di gudang kami akibat pemberhentian pengiriman oleh Japan Post ke banyak negara serta untuk meluaskan ruangan untuk kerja-kerja tambahan supaya lebih banyak barang dapat disimpan dan dibungkus
Seperti yang anda sedia maklum, ZenMarket telah menawarkan tempoh simpanan percuma selama 120 hari untuk membantu para pelanggan yang tidak dapat menghantar atau menerima bungkusan mereka disebabkan oleh wabak COVID-19. Malangnya, perubahan tersebut telah memakan diri apabila pihak Japan Post membuat keputusan untuk mengembalikan semula sebahagian daripada bungkusan yang telah dikirimkan, dan bungkusan tersebut telah memenuhi ruangan di gudang kami. Pada tempoh yang sama, sebahagian besar kakitangan gudang kami terpaksa mengambil cuti atas sebab-sebab peribadi yang bersangkut-paut dengan pandemik COVID-19 (diakibatkan oleh perisytiharan situasi darurat di Jepun). Harap maklum bahawa masalah yang kami hadapi bukanlah sesuatu yang disengajakan untuk menyusahkan para pelanggan, malah kami cuba sedaya-upaya untuk menyelesaikan masalah dalaman ini, dan dalam masa yang sama, memberikan penjelasan tentang situasi sebenar kepada para pelanggan yang membuat pembelian melalui perkhidmatan kami.
Kami memohon maaf sekiranya anda telah menunggu berminggu-minggu untuk pendaftaran serta pembungkusan barang-barang anda. Mulai minggu ini, operasi di gudang kami akan menjadi lebih pantas secara beransur-ansur, dan dijangka akan kembali normal pada penghujung bulan ini. Oleh itu, jika barang-barang anda masih menunggu untuk pembungkusan, harap maklum bahawa ia akan diselesaikan dalam dua minggu terakhir bulan Julai.
Sila ambil maklum bahawa kami tidak akan mengenakan caj penyimpanan ekstra jika barang-barang anda sedang menunggu untuk dibungkus (status: Pembungkusan Dalam Proses) atau bungkusan anda sedang menunggu untuk pengiriman (status: Bersedia Untuk Dikirimkan).
(Sementara pihak kami menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga untuk menyelesaikan isu pendaftaran serta pembungkusan item, sedikit kelewatan dalam perkhidmatan lain seperti balasan mesej serta pembelian barang terhad (time-sensitive items) dijangka berlaku.)
Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas kesabaran anda, dan juga kerana memilih perkhidmatan kami dalam suasana global yang tidak menentu ini. Kami juga menghargai segala saranan dan galakan yang kami terima untuk mengatasi masalah yang kami sedang hadapi.
Sekiranya anda ingin mengetahui perkembangan terkini berkaitan perkhidmatan kami, sila lihat entri blog berikut: