ZenMarket ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua pengguna kami. あけましておめでとうございます (akemashite omedetou gozaimasu)!Tahun 2019 merupakan tahun yang sangat istimewa buat ZenMarket kerana kami menyambut ulang tahun penubuhan kami yang kelima pada bulan April, diikuti dengan pelancaran dua versi bahasa baharu iaitu versi bahasa Melayu pada tanggal 4 Jun, dan versi bahasa Vietnam pada tanggal 5 September. Kini, dengan penawaran 10 bahasa untuk pelayaran laman web dan bantuan khidmat pelanggan, ZenMarket boleh dikatakan sebagai syarikat wakil pembelian (buying proxy service) Jepun yang paling global!

Sebagai sebuah syarikat proksi pembelian yang membantu ramai pelanggan dari seluruh dunia untuk mendapatkan barangan keinginan dan kegemaran mereka dari Jepun, ZenMarket berasa terpanggil untuk berkongsi keunikan tradisi sambutan tahun baharu Jepun, yang turut dikenali sebagai お正月 (oshougatsu). Berikut merupakan 15 perkara penting yang anda perlu tahu mengenai tahun baharu Jepun yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ucapan, persediaan, dan upacara.
UCAPAN
Terdapat dua jenis ucapan tahun baharu yang diungkapkan, iaitu ucapan yang digunakan sebelum tahun baharu menjelma dan ucapan pada tahun baharu.

1) Sebelum tahun baharu
「良いお年を」
(yoi otoshi o)
Ucapan yang sering kali digunakan ketika bertemu dengan sahabat handai, sanak saudara atau kenalan buat kali terakhir sebelum tahun baharu menjelang adalah "yoi otoshi o" yang merupakan singkatan daripada "yoi otoshi o omukae kudasai". Maksudnya, "semoga tahun yang akan datang ini adalah tahun yang baik-baik sahaja". Ucapan ini biasanya diungkapkan sebelum kita berpisah dengan orang yang kita temui.
2) Pada tahun baharu
「あけましておめでとうございます」
(akemashite omedetou gozaimasu)
Ucapan di atas yang bermaksud "selamat tahun baharu" biasanya dituturkan setelah masuknya tahun baharu, dan apabila kita menemui seseorang buat kali pertama untuk tahun baharu tersebut. Biasanya, ucapan ini sesuai dituturkan sehingga pertengahan bulan Januari. Apabila diucapkan kepada teman rapat kita, ungkapan "akemashite omedetou" yang lebih kasual dan mesra boleh digunakan.
PERSEDIAAN
Memandangkan sambutan tahun baharu merupakan sambutan tradisional yang terbesar di Jepun kerana kebanyakan orang akan balik ke kampung halaman masing-masing, terdapat banyak persediaan yang perlu dilakukan.
"Nengajou" merupakan kad tahun baharu yang dihantar kepada teman, ahli keluarga dan orang yang banyak membantu kita untuk menunjukkan penghargaan. Selain daripada nengajou dengan pelbagai rekaan yang boleh dibeli di mana-mana kedai, sesetengah orang memilih untuk membuat kad mereka yang tersendiri dengan menggunakan gambar anak-anak mereka, atau gambar sekeluarga. Tidak seperti budaya kad Hari Raya yang sudah semakin hilang pada masa ini, budaya penghantaran nengajou masih lagi kukuh dalam masyarakat Jepun.
via GIPHY
"Oosouji" secara harfiahnya bermaksud "pembersihan besar-besaran" yang dilakukan di rumah, di sekolah dan di tempat kerja. Berbeza dengan pembersihan rumah biasa, oosouji biasanya dilakukan dengan lebih teliti dan mengambil masa yang lebih lama. Pembersihan ini bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan fizikal, tetapi juga rohani supaya tahun baharu dapat disambut dengan semangat baharu dan jiwa yang bersih.
"Kadomatsu" merupakan perhiasan yang diperbuat daripada buluh dan pokok pain. Hiasan ini diletakkan di hadapan rumah untuk mengalu-alukan kedatang roh nenek moyang serta kami (dewa/dewi) musim menuai. Kadomatsu biasanya diletakkan pada 28 Disember sehingga 7 Januari dan ianya juga dikatakan sebagai rumah tumpangan untuk kami yang akan datang menziarah.
"Shimekazari" merupakan perhiasan yang digantung pada pintu masuk untuk mengalu-alukan kedatang Toshigami (dewa/dewi tahun baharu) serta untuk menghalau unsur kejahatan daripada memasuki rumah tersebut.
Kagamimochi terdiri daripada sebuah mochi (sejenis kuih pulut Jepun) berbentuk bulat kecil, yang diletakkan di atas mochi berbentuk sama tetapi bersaiz lebih besar. Ia biasanya diletakkan di atas meja kecil atau kamidana (altar agama Shinto untuk sembahan di rumah). Kagamimochi dikatakan sebagai simbolik tahun yang berlalu dan yang akan datang, jiwa manusia, serta bulan (yin) dan matahari (yang).
8) 除夜の鐘 (joya no kane)
"Joya no kane" merujuk kepada loceng yang dibunyikan pada malam tahun baharu di kuil-kuil. Di kebanyakan tempat, loceng akan dibunyikan sebanyak 108 kali! 107 pukulan akan dilakukan pada minit-minit terakhir sebelum masuknya tahun baharu, dan 1 pukulan terakhir akan dilakukan sebaik sahaja tarikh telah berubah daripada 31 Disember kepada 1 Januari. Dikatakan bahawa 108 pukulan loceng tersebut melambangkan 108 jenis penderitaan manusia. Di Jepun, ramai orang akan berpusu-pusu meredah malam musim sejuk untuk menyaksikan joya no kane. Kalau anda berkesempatan untuk menyambut tahun baharu di Jepun, anda pasti akan terkejut melihat orang seramai itu dalam cuaca yang sangat dingin pada tengah malam!
Toshikoshi soba adalah hidangan soba, sejenis mi tradisional Jepun yang diperbuat daripada gandum kuda (buckwheat), yang dimakan pada malam 31 Disember dengan harapan agar dipanjangkan usia, dan dikurniakan hidup yang aman damai serta tubuh badan yang sihat. Soba biasanya lebih mudah untuk diputuskan menggunakan sepit (chopsticks) berbanding dengan udon, sejenis mi tradisional Jepun yang diperbuat daripada tepung gandum. Oleh itu, ianya turut melambangkan pemutusan atau pemotongan semua malapetaka yang berlaku serta penderitaan yang telah dialami sepanjang tahun tersebut.
UPACARA
Pada tanggal 1 Januari, terdapat beberapa tradisi yang dilakukan.
10) 初日の出 (hatsuhinode)
"Hatsuhinode" yang bermaksud "matahari terbit yang pertama" merujuk kepada matahari terbit pertama pada pagi 1 Januari. Masyarakat Jepun terdahulu mempercayai bahawa dewa/dewi tahun baharu boleh dilihat pada waktu hatsuhinode. Kebiasaannya, orang Jepun akan berdoa untuk kesihatan yang baik serta tuah sambil melihat hatsuhinode. Terdapat banyak tempat yang popular untuk menyaksikan hatsuhinode dan yang paling terkenal sekali sudah pastinya gunung Fuji!
11) 初詣 (hatsumoude)
Hatsumoude merujuk kepada ziarah pertama ke kuil atau tokong pada tahun baharu. Tujuannya adalah untuk menziarahi dewa/dewi dan berdoa agar tahun baharu tersebut dapat dilalui dengan lancar tanpa sebarang kesulitan.
12) おせち料理 (osechi ryouri)
Osechi ryouri merupakan juadah yang dimakan sepanjang tiga hari pada tahun baharu. Juadah ini terdiri daripada pelbagai hidangan, dan setiap satunya mempunyai simbolik tertentu. Ebi (udang) misalnya membawa maksud panjang usia yang dipaparkan daripada bentuk udang yang ber"janggut" dan bertubuh "bongkok". Pada zaman dahulu, osechi boleh dimakan sehingga tiga hari, jadi para suri rumah dapat berehat daripada memasak setelah berpenat-lelah membuat persediaan untuk menyambut tahun baharu. Hal ini demikian kerana pada waktu itu, semua kedai akan ditutup selama beberapa hari sepanjang sambutan tahun baharu. Namun kini, kedai serbaneka seperti Family Mart dan 7-Eleven terdapat di mana-mana tempat di seluruh Jepun, jadi osechi biasanya hanya dimakan pada hari pertama tahun baharu sahaja. Selain itu, kebanyakan orang pada zaman ini tidak memasak osechi ryouri kerana ianya boleh didapati di kedai serbaneka dan pasar raya.
13) お雑煮 (ozouni)
Ozouni merupakan sup tradisional Jepun yang mengandungi mochi sebagai bahan utama dan diserikan lagi dengan ayam, ikan, sayur-sayuran, dan bahan-bahan lain mengikut wilayah tertentu. Ozouni di wilayah Kanto biasanya mempunyai sup berwarna jernih, manakala di wilayah Kansai pula, miso putih digunakan sebagai perasa utama membuatkan supnya kelihatan seperti sup miso yang biasa dilihat.
Otoshidama, sama seperti duit raya, adalah wang yang diberikan oleh ibu bapa atau sanak saudara kepada kanak-kanak di dalam sampul. Biasanya, pelajar yang masih belum bekerja juga akan menerima otoshidama daripada ibu bapa mereka.
15) 鏡開き (kagamibiraki)
Pada tanggal 11 Januari (biasanya), upacara pemecahan kagamimochi, yang dikenali sebagai kagamibiraki, akan dilakukan. Kagamimochi tersebut kemudiannya akan dimakan sebagai tanda penghargaan kepada dewa/dewi dan untuk mendoakan agar dijauhkan daripada penyakit dan malapetaka.
Sekiranya anda berkesempatan untuk berkunjung ke Jepun pada tahun baharu, jangan lepaskan peluang untuk mengalami sendiri keunikan tradisi sambutan tahun baharu Jepun, ya!
Diolah daripada artikel terbitan Japan International Language Academy.
Tentang ZenMarket Jepun
Kebanyakan kedai online Jepun tidak membuat pengiriman ke luar negara, tetapi kami menyelesaikan masalah ini! Kami bantu anda membeli, menggabungkan dan mengirimkan barangan anda ke pintu rumah anda. Laman kami menggabungkan laman-laman pembelian online terbesar di Jepun seperti Amazon Japan, Rakuten, dan JDirectItems Auction. Dengan hanya copy dan paste pautan URL item ke troli ZenMarket anda, anda boleh membuat pembelian dari beratus-ratus kedai online Jepun. Pembelian barangan Jepun kesukaan anda kini lebih mudah dengan ZenMarket!
Ikuti kami di Facebook