Carian dihidupkan, Tukar kedai
10% pulangan untuk Item Rakuten 23 April 16:00 - 27 April 16:00 JST BELI SEKARANG
ULANG TAHUN ZENMARKET KE-10 LIHAT LAGI

SAMBUTAN HALLOWEEN DI JEPUN: SAMAKAH DENGAN DI BARAT?

Cara unik 31 Oktober diraikan di Jepun

Sempena musim Halloween yang telah mula dirasai sejak awal bulan di kala menunggu perayaan itu tiba pada malam 31 Oktober nanti, pasti ada yang pernah tertanya-tanya bagaimana Halloween disambut di Asia.

Halloween adalah perayaan yang sinonim dengan budaya barat dan salah satu perayaan terbesar di Amerika. Malah boleh dikatakan kebanyakkan orang di seluruh dunia lebih biasa dengan cara perayaan Halloween versi Amerika melalui filem-filem dan rancangan yang ditayangkan di televisyen.

image

Hakikatnya perayaan itu mempunyai versi yang berbeza-beza di seluruh dunia.

Di Amerika, Halloween dikaitkan dengan kanak-kanak memakai kostum hantu, amalan pergi dari rumah ke rumah untuk aktiviti trick o’ treat, tanglung labu menghiasi halaman rumah serta aestetik berwarna hitam dan jingga yang seiring dengan musim luruh ketika mana perayaan itu disambut.

image

Negara seperti Malaysia yang tidak menyambut perayaan ini pula mungkin akan disajikan dengan filem-filem seram seperti ‘Halloween’ dan ‘The Nightmare Before Christmas’, selain turut dapat menikmati dekorasi Halloween di pusat-pusat beli belah.

Tetapi sebagai salah satu negara Asia yang paling bersemangat meraikan festival hantu ini, sambutan Halloween di Jepun tidak kurang meriahnya.

Kebanyakkan tradisi yang diamalkan ketika Halloween seperti berpakaian seperti hantu dan menghias rumah dengan tanglung labu berasal dari Celtic purba di mana orang Celt menyalakan kayu api dan memakai kostum untuk menghalau hantu.

image

Amalan-amalan tersebut walau bagaimanapun tidak banyak dilihat dalam sambutan Halloween di Jepun. Sebagai negara berkepercayaan Shinto, Halloween bukanlah perayaan yang semula jadi wujud di Jepun. Tetapi seperti yang berlaku di negara-negara lain, negara Matahari Terbit itu perlahan-lahan menerapkan perayaan Halloween dalam budayanya dan kini menjadi salah satu acara terbesar pada musim luruh di Jepun.

Apa yang menjadikan Halloween berbeza di Jepun adalah fokus yang diberikan kepada aktiviti cosplay. Halloween di Jepun tidak melibatkan aktiviti trick o’ treat atau dekorasi menakutkan di setiap rumah, sebaliknya ia lebih dilihat sebagai sebuah 'matsuri' di mana banyak pesta dan acara cosplay yang diadakan. Adegan cosplay memang sedia ada menjadi sebahagian besar budaya Jepun dan berlangsung sepanjang tahun, jadi memakai kostum seram dengan darah palsu dan solekan kesan khas untuk Halloween adalah perkara paling senang untuk dilakukan penduduk Jepun pada 31 Oktober.

 

Di mana untuk dapatkan kostum

Kostum yang digayakan ketika sambutan Halloween di Jepun merangkumi pilihan yang luas. Kebanyakan orang akan menggayakan watak-watak generik seperti ahli sihir, zombi atau mumia, sementara yang lain tampil sebagai watak filem, anime atau permainan video kegemaran mereka. Sebilangan besar kostum Halloween Jepun juga lebih cenderung untuk kelihatan kawaii daripada mengerikan.

image

Daiso dan Donki (Don Quijote) adalah dua kedai popular di mana orang akan membeli-belah untuk semua jenis barangan Halloween pada harga yang berpatutan. Don Quijote menawarkan pelbagai kostum Halloween yang juga boleh didapati secara atas talian. Tokyu Hands atau Loft juga menjual pelbagai jenis kostum dan aksesori, lengkap dengan barang solekan kesan khas.

image

 

Di mana untuk sambut Halloween

Jika sambutan Halloween di barat biasanya lebih banyak melibatkan kanak-kanak, perkara ini tidak benar di Jepun di mana ia lebih ditujukan kepada orang dewasa yang suka berpesta. Kanagawa, Tokyo, dan taman-taman tema popular adalah lokasi utama yang menjadi sasaran acara Halloween, sebahagian besarnya terdiri daripada pesta jalanan, pameran, flash mob dan perarakan.

 

1. Perarakan Kawasaki di Kanagawa

Acara Halloween yang paling berprestij di Jepun adalah Kawasaki Halloween Parade, yang menampilkan sekitar 4,000 peserta berkostum. Kawasaki telah mengadakan perarakan Halloween sejak lewat 90-an dengan sekitar 2,500 peserta mengambil bahagian dalam perarakan. Acara itu juga menarik lebih dari 100,000 pengunjung untuk menyaksikan pesta Halloween setiap tahun. Sepanjang bulan Oktober, Kawasaki dihiasi dengan dekorasi indah serta acara-acara seperti maraton filem dan pameran.

Walau bagaimanapun, bermula tahun ini (2021), Kawasaki Halloween Parade tidak akan diadakan lagi. Mereka telah menghentikan tradisi perarakan Halloween mereka setelah 24 tahun.

image

 

2. Pesta jalanan di Tokyo

Sekiranya anda tertanya-tanya di mana untuk merayakan Halloween di ibu kota Jepun, perhatikan sahaja kawasan-kawasan dataran dan taman di sekitar Tokyo kerana besar kemungkinan akan ada pesta jalanan yang berlangsung pada malam Halloween.

Pesta jalanan adalah salah satu cara paling popular bagi penduduk Jepun menyambut Halloween tanpa bajet yang besar. Golongan muda berduyun-duyun ke kawasan awam untuk mempamerkan kostum mereka. Malah orang awam yang tidak memakai kostum pun akan turun untuk menyertai kemeriahan dengan mengambil gambar, berpesta di kelab malam, dan berjalan-jalan di sekitar kawasan untuk menikmati suasana yang meriah.

Kebanyakan pesta jalan adalah percuma dan pengunjung boleh membawa minuman mereka sendiri. Satu-satunya wang yang diperlukan adalah untuk kostum yang ingin digayakan. Daerah Shibuya, Roppongi Hills, dan Ikebukuro menjadi tuan rumah pesta jalanan yang paling popular di bandar ini.

 

  • Shibuya Crossing

Shibuya Halloween adalah sebuah acara tidak rasmi yang telah menjadi acara Halloween terbesar di Jepun, dengan lebih dari 1 juta orang berkumpul. Pesta Halloween di Shibuya mencapai kemuncak antara pukul 6 petang hingga 11 malam pada malam 31 Oktober. Namun, ekoran sebuah insiden yang berlaku pada tahun 2018 menyebabkan gangguan tidak terkawal sehingga sebuah trak terbalik, Shibuya Crossing kini menjadi zon bebas alkohol dengan pihak berkuasa tempatan mula mengawasi kawasan itu setiap kali tiba musim Halloween. Halloween di Shibuya telah menjadi sebuah fenomena besar sejak tahun 2014 dan selama beberapa hari menjelang Halloween, persimpangan tersibuk di dunia ini dipenuhi dengan cosplayer.

 

  • Roppongi Hills

Terdapat perarakan Halloween tahunan yang besar di Roppongi Hills yang selalu berubah menjadi pesta jalanan yang meriah. Orang ramai gemar berkumpul di Roppongi Hills setiap tahun untuk perarakan yang mesra kanak-kanak dengan tema berbeza-beza setiap tahun. Kafe dan restoran di kawasan ini juga meriah dihiasi dekorasi Halloween selain turut menawarkan menu-menu edisi terhad bertemakan Halloween bagi melengkapkan pengalaman pengunjung. Tahun ini mereka mengadakan perjumpaan Halloween pada hari Sabtu 30 Oktober dari jam 11 pagi. Acara ini terhad kepada 1000 orang pertama.

image

 

  • Ikebukuro

Bagi mereka yang berminat dengan pertunjukkan cosplay yang lebih serius dan profesional, Ikebukuro Halloween Cosplay Festival adalah acara yang boleh kunjungi untuk menyambut Halloween. Festival Halloween di Ikebukuro adalah salah satu acara Halloween paling penting di Jepun yang diadakan pada hujung minggu terakhir bulan Oktober. Ia bukan sahaja mengumpulkan penggiat cosplayer tetapi juga para jurugambar. Sejak 2014, festival ini berlangsung di luar stesen Ikebukuro (Sunshine City). Ikebukuro Halloween Cosplay Festival menarik sehingga 20,000 peserta dan lebih 100,000 penonton dalam dua hari. Biasanya mereka akan mengadakan sesi runaway untuk cosplayer, serta permainan dan pertandingan yang boleh disertai semua orang.

image

 

3. Halloween train

Kereta Api Halloween adalah satu fenomena eksklusif yang terdapat di Jepun ketika musim Halloween. Menaiki kereta api di Jepun pada akhir Oktober akan menimbulkan rasa kagum apabila ruang yang biasanya tenang dan bersih berubah menjadi gerabak pesta. Tradisi kereta api Halloween dimulakan pada tahun 90-an apabila sekumpulan warga Amerika sering membuat kecoh di dalam kereta api dan kawasan stesen untuk menyambut Halloween. Amalan itu pada mulanya mengganggu ketenteraman orang awam sehingga berlaku protes, tetapi kini Halloween train kembali diadakan, Cuma bukan didorong oleh golongan expat yang mabuk. Acara-acara kereta api Halloween di Jepun sekarang sangat teratur dengan pengumuman di laman web, garis panduan penyertaan dan borang pendaftaran. Halloween train juga merupakan satu cara untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari menimbulkan kekacauan di jalanan.

image

 

4. Taman Tema

  • USJ & Disneyland

Untuk meraikan Halloween dengan anak-anak atau pasangan, acara dan perarakan khas di taman-taman tema terkenal seperti Tokyo Disney Resort atau Universal Studio Japan menjadi tumpuan penduduk Jepun. 

Pada 2000, Tokyo Disneyland telah mengadakan festival Halloween rasmi pertama di Jepun sekali gus memudahkan perayaan hantu itu untuk diterima ramai. Selain dekorasi Halloween di sekitar taman, merchandise, serta menu istimewa yang disediakan di restoran dan kafe, pengunjung juga dihiburkan dengan perarakan, pertunjukan Halloween, serta acara-acara menyeramkan. Acara Halloween terbesar di taman tema itu adalah Mickey and Friends Greeting Parade yang akan diadakan sehari sekali setelah matahari terbenam. Watak-watak Disney akan berubah menjadi versi yang menakutkan dan menghantui jalan-jalan di Tokyo Disneyland dan Tokyo DisneySea. Disney’s Halloween berlangsung dari pertengahan September hingga akhir Oktober.

image

Jika Tokyo Disney Resort menawarkan acara yang mesra kanak-kanak, Universal Studio Jepun (USJ) pula menawarkan acara Halloween yang lebih mendebarkan untuk orang dewasa. 

Terletak di Osaka, USJ biasanya menganjurkan perarakan Halloween pada waktu siang, sementara Halloween Horror Nights menawarkan rumah hantu dan tunggangan filem bertema Halloween yang unik pada waktu malam. Watak-watak hantu seperti zombi dan yokai akan menguasai jalan-jalan di sekitar taman tema itu, mengejar dan menakutkan pengunjung. Pengalaman trick o' treat juga dapat dirasai di mana pengunjung dijemput untuk melakukan aktiviti itu dengan staf di taman tema untuk mendapatkan gula-gula.

image

 

  • Tama Center & Sanrio Puroland

Stesen Tama Center biasanya mengacarakan sambutan Halloween selama dua hari. Jack o'lantern yang diukir oleh kanak-kanak akan menghiasi bahagian hadapan stesen dan pelbagai pameran diadakan. Tahun ini keadaan agak berbeza akibat daripada pandemik yang melanda, tetapi pameran Halloween masih dijalankan seperti biasa. Pada tahun 2020, aktiviti Halloween mereka dijalankan secara atas talian.

image

Sanrio Puroland, salah satu lokasi tarikan popular yang terletak di Tama Center turut menganjurkan Parti Halloween Puro setiap tahun dengan tema masquerade dan pelbagai jenis parti Halloween yang diadakan di taman pada waktu siang dan malam. Seluruh taman dihiasi dengan meriah, dan latar belakang khas untuk pengambilan foto boleh ditemui di seluruh tempat.

image

Perayaan Halloween di Jepun mungkin bukan satu kepentingan dalam budaya tetapi kemeriahan dan kehangatan sambutan terutamanya oleh golongan muda menjadikan 31 Oktober hari yang sungguh bermakna dan cukup dinanti-nantikan.

 

~ Penulis ~

Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom. 
Lihat profil

 

Sumber: 

Tokyoesque
Japan Wonder Travel Blog
In Saitama


 

 

 

Daftar sekarang dan dapatkan 300yen percuma!Pameran barang anime Jepun

 


 

Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩

 

 facebook  instagram  twitter

 

 

Artikel| 01/11/2021 | Budaya Jepun

 

Perkhidmatan Beli-Belah Jepun Anda!

ZenMarket ialah Servis Proksi Beli-Belah untuk Kedai Jepun & Bidaan, dengan Servis Penghantaran Antarabangsa. Lihat butiran tentang servis kami atau hubungi Khidmat Pelanggan di laman bantuan kami. Belum ada akaun beli-belah? Daftar akaun PERCUMA di sini dan dapatkan 500 ZenPoints percuma untuk pembelian pertama anda.

Lihat Item Popular