Carian dihidupkanTukar kedai
Sejarah carian Kosongkan senarai

RANCANG PERCUTIAN ROMANTIS ANDA DI OSAKA, JEPUN

Osaka adalah sebuah bandar metropolitan yang terletak di wilayah Kansai, Jepun. Ia kaya dengan gabungan antara budaya tradisional dan moden. Osaka juga dikenali sebagai bandar "kuidaore", yang bermaksud "makan sehingga anda jatuh muflis". Jika anda mengunjungi Osaka, kami sangat menyarankan anda menikmati hidangan tempatan seperti Takoyaki, Okonomiyaki dan lain-lain lagi.

Selain daripada makanan yang sedap, Osaka juga terkenal dengan pusat beli-belah, bangunan pencakar langit, bangunan bersejarah, taman tema serta taman rekreasi yang dipenuhi bunga ceri, bunga ros dan lain-lain lagi.

Di sini kami akan membawa anda mengenali tujuh tempat menarik dan romantis yang terdapat di Osaka, Jepun.

 

1) MEIJI-NO-MORI MINO QUASI-NATIONAL PARK (MINOO PARK)

  Sumber: Maxima-goodfon.com 

Kepada pasangan dua sejoli yang kedua-duanya menggemari aktiviti lasak dan cintakan alam semulajadi, Taman Minoo atau Minoo Park adalah destinasi yang terbaik untuk dilawati.

Ia merupakan antara salah satu taman tertua di Jepun dan terletak di Minookoen, Minoo-City, Osaka Prefecture, Jepun.

Taman Minoo terkenal dengan Air Terjun Mino (Mino Waterfall) yang mempunyai ketinggian 33 meter dan pokok maple merah Jepun yang berwarna merah menyala ketika musim luruh. Ia juga telah dinobatkan sebagai 100 pemandangan terbaik di Jepun.

Semasa musim luruh, kedai-kedai di tepi laluan menuju ke Air Terjun Minoo akan menjual makanan ringan yang unik dipanggil Momiji Tempura iaitu daun mapel yang digoreng dalam adunan tempura.

Jika anda datang pada musim luruh, kami cadangkan anda dan pasangan buat sesi foto luar (outdoor photo shoot) untuk pasca perkahwinan anda di sini dengan berlatar belakangkan Air Terjun Minoo dan pokok mapel merah. Foto perkahwinan anda pasti menarik seperti perkahwinan di dalam taman.

Anda hanya perlu mendaki setinggi 3 km untuk sampai di Air Terjun Mino yang mengambil masa kira-kira 45 minit ke satu jam.

Pendakian ke Air Terjun Mino adalah mudah kerana ianya tidak terlalu tinggi dan tidak memerlukan sebarang alat bantuan. Pendakian ini akan melalui jalan yang telah diturap.

Di permulaan perjalanan anda akan melalui beberapa kedai berkonsepkan tradisional Jepun, kuil-kuil dan kemudahan lain.

Antara beberapa kuil yang terdapat di Taman Minoo, Ryuanji Temple adalah yang paling cantik seni binanya. Ia terletak di pertengahan jalan menuju ke Air Terjun Mino. Sepanjang perjalanan menuju ke Air Terjun Minoo, anda akan ditemani flora dan fauna yang cantik. Apabila telah penat mendaki, anda boleh rehat sebentar dengan melawat Muzium Serangga dan kemudiannya menyambung perjalanan setelah hilang penat. Setelah tiba di Air Terjun Mino, anda boleh menikmati pemandangan yang cantik dan mendengar deruan air terjun sambil menikmati teh hijau panas bersama pasangan di tempat tinjau yang disediakan.

 

2) IKEDA CASTLE

Sumber: itsyourjapan.com

Bagi pasangan yang ingin mengetahui serba sedikit mengenai sejarah pemerintahan Jepun pada zaman dahulu, Istana Ikeda (Ikeda Castle) adalah salah satu destinasi yang boleh dikunjungi. Kebanyakan pengunjung yang datang melancong ke Osaka, akan mengunjungi Istana Osaka (Osaka Castle).  

Di sini kami ingin membawa anda mengenali Istana Ikeda. Walaupun ia tidak sebesar Istana Osaka, namun ia tetap merupakan sebahagian monumen penting dalam sejarah wilayah Osaka dan menarik untuk dilawati, serta mempelajari beberapa sejarah. Istana ini terletak di Shiroyamacho, Ikeda-shi, Osaka, Jepun. Ia dibina pada tahun 1334 dan ia merupakan titik pusat perebutan kuasa dan peperangan selama beratus-ratus tahun antara pelbagai suku samurai.

Istana Ikeda yang dibina daripada kayu hitam dan putih telah dibaik pulih serta dijadikan sebagai taman dan dibuka kepada orang ramai pada April 2004.

Dipekarangan taman istana ini terdapat pelbagai struktur pertahanan yang dibina semula. Terdapat juga rumah teh untuk anda mencuba upacara minum teh Jepun dan pelbagai persembahan untuk ditontoni.

Malahan ada pemandu pelancong sukarela di taman ini pada hujung minggu dan cuti umum, jadi jangan malu untuk mendekati mereka untuk bertanyakan sejarah Istana Ikeda.

Dari rumah penjaga istana yang terletak di dalam taman, anda boleh menikmati pemandangan bandar Kobe dan Wakayama serta Shin Inagawa Bridge di Lebuhraya Hanshin (lebih dikenali sebagai Big Harp).

Jika anda memilih untuk ke Istana Ikeda, di sini kami ingin mencadangkan anda untuk menyewa pakaian tradisional pengantin Jepun dari mana-mana butik dan membuat buat sesi foto luar (outdoor photo shoot) pasca perkahwinan anda di sini. Foto pasca perkahwinan anda pasti kelihatan unik dengan berlatar belakangkan Istana Ikeda seperti dalam filem klasik Jepun.

 

3) TSURUMI RYOKUCHI PARK

Sumber: Maxima-goodfon.com

Betul ke Osaka juga mempunyai Kincir Angin Belanda? Jika kami katakan ya, adakah anda akan mempercayainya? Taman Tsurumi Ryokuchi (Tsurumi Ryokuchi Park) merupakan antara taman yang terbesar di Osaka, Jepun.

Taman ini terletak di antara Bandar Osaka dan Bandar Moriguchi. Pada masa dahulu, ia merupakan tapak kepada “The International Garden and Greenery Exposition” (atau singkatan "Hana-haku") yang diadakan pada tahun 1990.

Taman ini mempunyai bunga pelbagai spesis daripada 55 buah negara dan juga terkenal dengan kincir anginnya yang membangkitkan suasana Eropah. Jika anda mengunjungi taman ini, anda akan merasakan seolah-olah anda berada di Amsterdam dengan dikelilingi oleh bunga-bunga yang cantik seperti bunga tulip, itik-itik liar di tasiknya serta kincir angin yang menjadi ikonik taman ini.

 Malahan taman ini juga penuh dengan landskap fotogenik, Insta-worthy dan tumbuhan yang jarang ditemui.

Banyak aktiviti menarik yang anda boleh lakukan bersama pasangan anda di sini. Diantaranya ialah aktiviti menunggang kuda, bermain golf, melihat persembahan hiburan dan banyak lagi.

 

4) SEN’NAN MARBLE BEACH

Sumber: matcha-jp.com

Sen’nan Marble Beach sangat menarik untuk dilawati oleh pasangan yang baru berkahwin. Pantai ini terkenal dengan pemandangan matahari terbenam yang cantik pada waktu petang. Selain itu juga, pantai ini mempunyai monumen besar berbentuk hati yang mempunyai kata-kata romantis "Sennan Marble Beach" dan "Always With You." Tempat berbentuk hati ini adalah tempat yang menarik ramai pasangan untuk mengadakan aktiviti swafoto bersama.

Anda dan pasangan boleh menghabiskan masa bersama dengan bersiar-siar di persisiran pantai.

Jika anda ingin mencipta kelainan, anda boleh buat kejutan pada pasangan anda dengan merancang candle light dinner di situ sambil menikmati pemandangan dan mendengar alunan ombak yang menghempas pantai. Ia akan memberikan anda perasaan yang romantis dan menenangkan.

Sen’nan Marble Beach terletak di seberang Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX). Pantai sepanjang 900 meter ini diliputi batu marmar putih yang menghiasi pantai dan membentuk kontras yang indah dengan lautan biru.

 

5) UNIVERSAL STUDIO JAPAN

Sumber: Koleksi Gambar Peribadi

Sekiranya anda dan pasangan meminati taman tema, anda mesti mengunjungi Universal Studios Japan (USJ). USJ di Osaka ialah taman tema paling terkenal di wilayah Kansai dan salah satu daripada empat taman tema Universal Studios yang wujud di seluruh dunia. Ia merupakan taman tema berjenama Universal Studios pertama yang dibina di Asia. USJ mempunyai sepuluh zon dan yang paling terkenal adalah The Wizarding World of Harry Potter dan yang terkini, Super Nintendo World.

USJ sentiasa dipenuhi oleh pengunjung sama ada pada hari minggu atau hari biasa. Oleh itu, untuk mengunjungi USJ kami sarankan anda membeli tiket dan Pas Ekspres terlebih dahulu.

Jika anda mengunjungi USJ anda berpeluang merasakan pengalaman menaiki roller coaster yang mendebarkan dan merasai simulasi filem popular seperti Jaws, Spiderman, dan banyak lagi.

Di samping itu, anda berpeluang untuk mengambil gambar dengan maskot watak popular seperti Snoopy, Hello Kitty dan Muppets. Terdapat juga pertunjukan harian dan perarakan yang boleh ditonton.

Kebiasaanya pengunjung yang mengunjungi USJ, pasti akan teringin untuk kembali ke sini lagi.

 

6) DOTONBORI

Sumber: Koleksi Gambar Peribadi

Tidak lengkap percutian anda di Osaka jika anda tidak mengunjungi Dotonbori atau juga dikenali sebagai Dotombori. Dotonbori adalah antara destinasi pelancongan paling terkenal di Osaka. Dotonbori dipenuhi dengan lampu neon yang berwarna-warni, papan ikan yang unik serta papan iklan 3D seperti ikan buntal gergasi, sotong, dan banyak lagi. Semuanya pasti akan menarik perhatian anda. Ia mencipta suasana seakan-akan taman hiburan. Walau bagaimanapun, daripada semua papan tanda ini, yang paling terkenal ialah papan tanda larian Glico Man di atas Jambatan Ebisubashi.

Sumber: agoda.com

Dotonbori terkenal dengan deretan kedai yang menjual pelbagai jenis makanan jalanan tradisional Jepun seperti Takoyaki, Okonomiyaki dan lain-lain lagi. Selain makanan jalanan terdapat juga restoran-restoran mewah, kedai cenderamata dan banyak lagi.

Di sini kami ingin cadangkan anda mengunjungi Dotonbori pada malam hari dan juga pada siang hari. Ini adalah kerana ia akan memberikan vibe yang berbeza dan menyeronokan.

Sumber: pirates-of-osaka.com

Jika anda ingin merasai detik-detik romantis bersama insan yang tercinta seperti di dalam drama-drama Barat, anda boleh menaiki Night River Chartered Cruising. Anda boleh menyewa private Cruise tersebut hanya untuk anda dan pasangan. Private Cruise ini akan mengambil masa lebih kurang 60 minit yang akan bermula dari Taman Nakanoshima sehingga ke Sungai Dotonbori. Di sepanjang pelayaran anda akan melalui bangunan-bangunan yang bersejarah, jambatan yang cantik serta Istana Osaka yang menjadi ikonik kepada bandar Osaka, Jepun.

 

7) UMEDA SKY BUILDING

Sumber: osaka-info.jp

Bagi pasangan yang meminati seni bina, bangunan Umeda Sky Building adalah salah satu destinasi yang boleh dilawati. Ia dibina pada tahun 1993 oleh Hiroshi Hara dan mempunyai seni bina yang sangat istimewa, kerana ia terdiri daripada dua menara 40 tingkat setinggi 173 meter yang dihubungkan oleh dek tinjau berbentuk bulat yang terapung.

Dari dek tinjau tersebut anda boleh melihat pemandangan 360 darjah yang menakjubkan dari seluruh Osaka sehingga ke Pulau Awaji di Hyogo Prefecture, Jepun.

Untuk ke dek tinjau, anda perlu menaiki lif berkelajuan tinggi sehingga ke tingkat 35. Dari tingkat 35 ke tingkat 39, anda perlu menaiki eskalator berbentuk luar biasa.

Dengan menuruni beberapa anak tangga dari dek tinjau, anda akan mendapati diri anda berada di Lumi Skywalk yang menggambarkan milky way. Lumi Skywalk akan muncul apabila batu-batu yang ditanam di lantai Skywalk mula bercahaya secara semula jadi dengan cahaya yang sederhana dan halus selepas langit menjadi gelap. Pemandangan udara 360 darjah Osaka sememangnya mempesonakan, terutamanya pada waktu senja dan malam. 

Sumber: skybldg.co.jp

Terdapat juga satu bahagian di mana anda boleh meninggalkan “Kunci Cinta” untuk melambangkan cinta anda kepada pasangan seperti yang dilakukan di Jambatan Brooklyn.

Sumber:tripadvisor.com

Di antara ketujuh-tujuh tempat yang dicadangkan untuk dilawati, terdapat beberapa tempat yang kurang terkenal di kalangan para pelancong, namun ianya berbaloi untuk dilawati. Kami percaya percutian di Osaka pada kali ini akan memberikan anda kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dan akan membuat anda sentiasa tersenyum. Anda pasti akan mengabadikan kisah percutian anda ini di dalam jurnal anda untuk diceritakan ke anak cucu nanti.

 

Jika tidak berkesempatan atau tidak mampu untuk merancang percutian ke bumi matahari terbit, jangan risau. Anda masih boleh mendapatkan segala produk dan cenderamata direct dari Jepun dengan ZenMarket! Daftar sekarang dan dapatkan 500 ZenPoints! 

 

JOM SHOPPING

 

 

~ Penulis ~

lea.latif
Pendatang baharu dalam dunia penulisan
Lihat profil

 

 

Rujukan

  1.       https://www.japan-guide.com
  2.       https://www.japanvisitor.com
  3.       https://japantravel.navitime.com
  4.       http://www.mino-park.jp
  5.       https://osaka-info.jp
  6.       https://theculturetrip.com
  7.       https://matcha-jp.com
  8.       https://en.japantravel.com
  9.       https://www.ikedashi-kanko.jp
  10.       https://jcastle.info
  11.       https://cityseeker.com
  12.       https://www.osakastation.com
  13.       https://itsyourjapan.com
  14.       https://livejapan.com
  15.       https://www.agoda.com
  16.       https://www.kanpai-japan.com
  17.       https://www.goodfon.com
  18.       https://pirates-of-osaka.com
  19.       https://www.tripadvisor

 

 

 

 

 

Artikel| 12/11/2021 | Budaya Jepun

 

Perkhidmatan Beli-Belah Jepun Anda!

ZenMarket ialah Servis Proksi Beli-Belah untuk Kedai Jepun & Bidaan, dengan Servis Penghantaran Antarabangsa. Lihat butiran tentang servis kami atau hubungi Khidmat Pelanggan di laman bantuan kami. Belum ada akaun beli-belah? Daftar akaun PERCUMA di sini dan dapatkan 500 ZenPoints percuma untuk pembelian pertama anda.

Lihat Item Popular