Carian dihidupkan, Tukar kedai
10% pulangan untuk Item Rakuten 23 April 16:00 - 27 April 16:00 JST BELI SEKARANG
ULANG TAHUN ZENMARKET KE-10 LIHAT LAGI

3 Sebab Demon Slayer Musim ke-2 Terlalu Matang Untuk Penonton Bawah Umur

Demon Slayer adalah salah satu siri anime paling popular pada ketika ini. Bukan sahaja di Jepun, malah ia menjadi fenomena di seluruh dunia.

Filem pertamanya, Mugen Train memecahkan rekod box office selepas menyingkirkan Spirited Away yang memegang rekod itu selama 19 tahun, untuk menjadi filem anime dengan kutipan tertinggi di seluruh dunia sebanyak $440.15 juta.

Ia turut menjadi filem anime nombor satu di Malaysia selepas mendapat kutipan tertinggi sebanyak RM4.3 juta, mengalahkan pemegang rekod terdahulu, One Piece: Stampede (2019) yang memperoleh RM3.3 juta. Ini cukup untuk menggambarkan betapa popularnya siri Demon Slayer.


Demon Slayer atau Kimetsu no Yaiba mengikuti kisah Kamado Tanjiro yang menyertai Demon Slayer Corps selepas keluarganya dibunuh dan adiknya sendiri bertukar menjadi syaitan. Dia bermatlamat untuk mengubah adiknya menjadi manusia kembali, dan dalam misi itu melalui pelbagai cabaran dan halangan yang melatihnya menjadi pembunuh syaitan yang kuat.

Watak-watak, pembangunan dunia dan jalan cerita Demon Slayer adalah jelas dan mudah difahami membuat siri ini berupaya mencapai kejayaan komersial dalam sekelip mata. Selain itu, pengkritik juga percaya sebab utama kejayaan besar karya Gotouge Koyoharu ini adalah kerana ia dikeluarkan pada waktu paling strategik, ketika ramai sedang berkurung di rumah akibat pandemik. Jadi tidak hairanlah jika Demon Slayer juga diminati oleh golongan dewasa dan kanak-kanak.

Sebagai sebuah siri yang menggunakan medium animasi, ibu bapa mungkin tidak memandang dua kali apabila anak-anak mereka mengikuti siri ini, walaupun Demon Slayer mempunyai rating TV-MA yang bererti ia tidak sesuai untuk penonton bawah umur.


Selain kerana terdapat banyak unsur keganasan, beberapa isu yang bangkit dari musim ke-2 Demon Slayer yang telah mula ditayangkan sejak Oktober membuat penonton sedar bahawa siri ini mungkin terlalu matang untuk penonton bawah umur, apabila lekuk cerita seterusnya membawa Tanjiro dan rakan-rakannya ke Yoshiwara, pusat pelacuran terkenal di Jepun.

Musim ke-2 dimulakan dengan adaptasi semula peristiwa dari filem Mugen Train, sebelum memasuki lekuk cerita ‘Daerah Hiburan’ atau Entertainment District Arc pada episod ke-8.

Namun baru 1 episod dari Entertainment District arc ditayangkan, telah muncul beberapa isu yang menjadi perbualan hangat melibatkan unsur seksual dalam lekuk cerita itu.

 

1. Terjemahan Tajuk Musim Ke-2

Isu pertama yang timbul melibatkan terjemahan tajuk lekuk cerita atau story arc tersebut dalam Bahasa Inggeris yang cuba menyembunyikan hakikat bahawa lekuk cerita itu mengambil tempat di pusat pelacuran.

Tajuk Bahasa Inggeris untuk musim kedua Demon Slayer ialah Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Entertainment District Arc. Terjemahan tajuk itu membuatkan peminat tidak setuju kerana perkataan Jepun yang digunakan untuk lekuk cerita ini ialah Yuukaku (遊廓), perkataan yang mempunyai makna lebih spesifik daripada entertainment district atau ‘daerah hiburan’.


Yuukaku diterjemahkan sebagai ‘daerah Lampu Merah’, ‘kawasan keseronokan’, atau ‘rumah pelacuran’. Yoshiwara ialah pusat pelacuran yang paling terkenal di Jepun, dan ia juga menjadi latar tempat utama untuk lekuk cerita ini yang tanpa ragu-ragu merujuk kepada maksud Yuukaku.

Jadi penggunaan istilah ‘daerah hiburan’ adalah mengelirukan, membuat peminat tidak setuju kerana ‘daerah hiburan’ atau entertainment district didefinisikan sebagai daerah seni dengan tumpuan tinggi pada panggung wayang, teater, pusat karaoke atau tempat hiburan lain. Ini adalah tempat yang jelas tidak menggambarkan yuukaku, dan perkataan yang digunakan juga membawa makna yang berbeza.

Sebab tajuk yuukaku tidak dapat diterjemahkan dengan tepat sebagai Red Light District dalam Bahasa Inggeris adalah kerana konotasi seksual yang jelas. Malah kebanyakan ibu bapa juga tidak gembira apabila tajuk musim ke-2 Demon Slayer didedahkan kerana tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepada anak-anak mereka tentang yuukaku.

Walaupun dengan mengekalkan tajuk lekuk cerita itu dalam bahasa Jepun, ia tidak akan dapat menghalang penonton bawah umur dari membuat pencarian di Google dan mendapat tahu tentang daerah Lampu Merah.


Yoshiwara dalam Demon Slayer

 

2. Watak Utama Mengamalkan Poligami

Episod ke-8 Demon Slayer yang telah ditayangkan minggu lepas bermula tepat di mana lekuk Mugen Train tamat dan Tanjiro serta rakan-rakannya diberi misi baharu: untuk membunuh syaitan yang sedang berleluasa di Yoshiwara. Entertainment District arc menumpukan pada kisah Hashira Bunyi, Tengen Uzui, dan hanya dengan melihat pada lokasi cerita ini mengambil tempat, penonton dapat meneka bahawa akan terdapat banyak unsur seksual.

Salah satunya adalah penampilan Uzui dengan 3 orang isterinya dalam kredit pembukaan musim kedua Demon Slayer yang telah menimbulkan pelbagai kritikan.

Sebagai salah satu industri yang mempopularkan genre harem, watak lelaki mempunyai lebih daripada satu pasangan bukanlah konsep yang baru dalam anime. Harem adalah salah satu genre anime yang menjadi kegemaran ramai di mana watak lelaki mempunyai hubungan istimewa dengan lebih dari seorang gadis dan kebanyakan peminat anime dapat menerima konsep ini dengan terbuka.


Watak utama dengan beberapa pasangan wanita dalam siri harem

Dalam masyarakat Melayu di Malaysia, lelaki memiliki lebih dari seorang pasangan mungkin sesuatu yang tidak dipandang negatif, tetapi di kebanyakan negara lain, poligami adalah satu kesalahan.

Di Jepun, poligami mula diharamkan pada 1945 selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua dan konstitusi baru diisytiharkan. Walau bagaimanapun ia tidak menghalang segelintir individu untuk mengamalkan poligami, dengan mengambil jalan untuk tidak berkahwin secara sah.


Artis kaligrafi, Nishiyama Yoshikatsu mempunyai dua orang isteri

Ada yang berpandangan poligami menjadi jalan penyelesaian yang baik kepada masalah curang apabila semua pihak yang terlibat mempersetujui hubungan dengan pihak ketiga, dengan syarat lelaki melayan dan menyayangi isteri-isterinya dengan adil.

Begitulah juga cara Koyoharu memasukkan unsur poligami dalam ceritanya di mana ketiga-tiga isteri Uzui iaitu Makio, Suma, dan Hinatsuru mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain dan juga disayangi sama rata oleh Uzui.


Walaupun tidak banyak beza dengan harem, hubungan poligami Uzui dengan isteri-isterinya yang dipamerkan secara terang-terangan menimbulkan kontroversi memandangkan poligami diharamkan di banyak negara, dan dianggap sebagai satu contoh yang tidak baik bagi penonton bawah umur.

 

3. Babak Pukul Punggung Gadis Bawah Umur

Selain berpoligami, reputasi Uzui diburukkan lagi dengan babak dia menculik Kanzaki Aoi dari Butterfly Mansion.

Dalam episod 8, Uzui menculik adik beradik Kanzaki, Aoi dan Naho dari Butterfly Mansion untuk membantunya menyelusup ke rumah pelacuran di Yoshiwara untuk mencari 3 orang isterinya. Dalam babak di mana dia sedang mendukung Aoi di bahunya, Uzui memukul punggung gadis itu.


Babak tersebut dianggap tidak sesuai untuk norma sosial zaman sekarang dan tidak patut disertakan terutamanya dalam lekuk cerita yang berkaitan dengan rumah pelacuran dan pelakunya adalah seorang lelaki yang mempunyai 3 isteri.

Bukan sahaja tindakan Uzui memukul punggung remaja berusia 16 tahun itu yang dikritik, tetapi rancangannya untuk memaksa gadis bawah umur untuk menjadi pelacur bagi kepentingan dirinya sendiri turut membuat ramai peminat, baik penonton tempatan mahupun dari luar Jepun tidak gembira dengan babak itu. Akibatnya juga ramai penonton menggelar Uzui yang merupakan seorang Hashira Bunyi sebagai Hashira Gangguan Seksual.

 

Akhir kata

Tidak dapat dinafikan isu-isu yang timbul pada bahagian awal Entertainment District Arc membuat peminat bimbang tentang adegan-adegan dan episod-episod akan datang.

Walaupun Demon Slayer adalah sebuah siri animasi yang mengisahkan tentang pengembaraan sekumpulan kanak-kanak, di samping keganasan yang ditayangkan, musim kedua juga menampilkan beberapa elemen yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum. Pucuk pangkalnya, klasifikasi tontonan untuk 18 tahun ke atas dan tayangan pada waktu malam cukup jelas menandakan Demon Slayer terlalu matang untuk penonton bawah umur.

 

 

~ Penulis ~

Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom. 
Lihat profil

 

 

 

 

Daftar sekarang dan dapatkan 300yen percuma!Pameran barang anime Jepun

 

 

 

Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩

 

 facebook  instagram  twitter

 

 

 

Artikel| 14/12/2021 | AnimeAnime/Manga

 

Perkhidmatan Beli-Belah Jepun Anda!

ZenMarket ialah Servis Proksi Beli-Belah untuk Kedai Jepun & Bidaan, dengan Servis Penghantaran Antarabangsa. Lihat butiran tentang servis kami atau hubungi Khidmat Pelanggan di laman bantuan kami. Belum ada akaun beli-belah? Daftar akaun PERCUMA di sini dan dapatkan 500 ZenPoints percuma untuk pembelian pertama anda.

Lihat Item Popular