Sokongan untuk Ukraine CEK RINCIAN untuk menderma.

Perbandingan Watak Bungo Stray Dogs dengan Tokoh Sastera Sebenar

Bungo Stray Dogs adalah sebuah siri anime Jepun popular yang dianimasikan oleh Studio Bones dan mula disiarkan pada 2016. Siri aksi supernatural ini mengikuti sekumpulan ejen rahsia yang memiliki ‘kebolehan’ istimewa dan menggunakan kuasa ghaib mereka untuk menyelesaikan misteri dan melawan kumpulan penjenayah.


Bungo Stray Dogs bukan sahaja menawarkan siri penuh aksi dan plot twist dengan rekaan watak yang cukup bergaya serta animasi yang lancar, tetapi ia juga membawakan pelbagai tokoh terkenal dalam kesusasteraan Jepun, Amerika dan Rusia.

Ditulis oleh Kafka Asagiri dan diilustrasikan oleh Sango Harukawa untuk majalah Young Ace pada 2012, Bungo Stray Dogs diterjemahkan kepada "Anjing Jalanan Kesusasteraan", namun jalan ceritanya tidaklah berkisar sepenuhnya pada sastera.


BSD mengisahkan tentang seorang remaja bernama Nakajima Atsushi yang dihalau dari rumah anak yatim. Selepas bertemu dengan seorang detektif bernama Dazai Osamu ketika lelaki itu cuba membunuh diri, Atsushi mendapat tahu bahawa dia sebenarnya memiliki kebolehan yang mampu mengubahnya menjadi seekor harimau putih yang ganas di bawah cahaya bulan. Dazai merekrut Atsushi ke dalam Agensi Detektif Bersenjata atau Armed Detective Agency (ADA) dan di sana dia bertemu dengan ramai individu lain yang turut mempunyai kebolehan. ADA menangani pelbagai kes dan jenayah yang berlaku di bandar Yokohama, tempat yang penuh dengan pengguna kebolehan (ability user).

Setiap watak BSD baik watak utama mahupun sampingan diberikan nama-nama pengarang terkenal yang telah meninggal dunia, dan kebolehan mereka berkaitan dengan karya sastera oleh pengarang yang mereka wakili.

 

1. Dazai Osamu

Dazai adalah ahli Agensi Detektif Bersenjata (ADA) yang dahulunya merupakan ahli Port Mafia. Dia seorang yang panjang akal dan sangat pintar walaupun sikapnya yang tidak berperasaan. Dalam Port Mafia, Dazai bersikap sadis dan dingin, tetapi menyertai ADA menyerlahkan sisinya yang lebih ceria. Walaupun begitu, dia masih terus mencuba untuk membunuh diri dengan cara-cara yang tidak masuk akal dan mengajak wanita cantik untuk mati bersamanya, tetapi cubaannya sering sahaja gagal.


Kebolehan Dazai, 'No Longer Human' membenarkannya membatalkan kebolehan orang lain apabila disentuh.

Dazai Osamu yang sebenar adalah salah seorang tokoh sastera Jepun moden yang paling terkenal dan tragis. Dia banyak menghasilkan karya agung walaupun diselubungi rasa kesunyian dan terasing yang mendalam. Kegelapan yang dirasai Dazai mempengaruhi banyak karyanya, terutamanya novelnya yang paling terkenal, No Longer Human.


Tidak lama selepas buku ini diterbitkan, Dazai berjaya membunuh diri selepas beberapa percubaan yang gagal.

Watak Dazai dalam BSD cuba menonjolkan identiti yang bertentangan dengan Dazai sebenar yang mana dia seorang yang peramah dan sering membuat jenaka.

 

2. Nakajima Atsushi

Walaupun terdapat banyak watak penting dalam BSD, Atsushi digambarkan sebagai protagonis utama siri ini dan merupakan ahli terbaru Agensi Detektif Bersenjata. Walaupun Atsushi masih bergelut dengan harga diri yang rendah akibat didera selama bertahun-tahun, menyertai ADA memberikannya keyakinan. Dia mempunyai keinginan untuk menyelamatkan semua orang dan membenci kematian dan pembunuhan.


Kebolehan Atsushi, 'Beast Beneath the Moonlight', membolehkannya berubah menjadi seekor harimau putih yang liar, yang dia akhirnya berjaya untuk kawal.

Dalam dunia sebenar, Nakajima Atsushi adalah seorang pengarang Jepun yang terkenal dengan cerpennya, The Tiger Poet, tentang seorang penyair yang kecewa dan memperolehi kebolehan untuk berubah menjadi harimau oleh kuasa ghaib, sambil mengekalkan sifat kemanusiaan dan kebolehannya untuk bercakap.


Zaman kanak-kanak Atsushi boleh dikatakan suram disebabkan masalah keluarga. Pengalamannya yang tidak bahagia ini digambarkan dalam BSD ketika waktu Atsushi di rumah anak yatim.

 

3. Yosano Akiko

Yosano Akiko bertugas sebagai pakar perubatan dalam ADA dan mempunyai kebolehan 'Thou Shalt Not Die,' satu kebolehan yang mampu menyelamatkan nyawa seseorang hanya apabila mereka di hujung nyawa. Dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana dia percaya dirinya seorang wanita yang kuat dan seorang doktor yang hebat. Sebab itu juga Yosano mengambil berat tentang wanita dan nyawa manusia.


Dia juga seorang feminis yang percaya lelaki dan wanita mempunyai hak sama rata. Yosano biasanya bersikap tenang tetapi apabila dia marah sifat sadisnya membuat rakan-rakan sejawatnya gerun.

Seperti wataknya dalam BSD, Yosano Akiko yang sebenar juga adalah seorang feminis.


Thou Shalt Not Die adalah sebuah puisi yang ditulisnya pada 1904 untuk adik lelakinya yang telah dihantar untuk berperang dalam Perang Rusia-Jepun, memberitahu supaya tidak mati.

 

4. Edogawa Ranpo

Sebagai ahli pertama ADA, Edogawa dikenali sebagai detektif terhebat di dunia bukan sahaja oleh rakan-rakan dan dirinya sendiri tetapi juga pihak polis yang sering memerlukan bantuannya.


Kebolehan luar biasanya yang dipanggil 'Super Deduction' membolehkan Ranpo menyimpulkan kes tentang sebarang jenayah dengan memberikan setiap maklumat mengenainya seperti di mana untuk mencari bukti dan siapa pelakunya, hanya dalam masa beberapa saat. Ranpo "mengaktifkan" kebolehannya ini dengan memakai sepasang cermin mata. Walau bagaimanapun kebolehannya itu sebenarnya adalah kebijaksanaannya sendiri dan bukan kerana kuasa istimewa, walaupun dia tidak ingin mengakui dia tidak memiliki kebolehan.

Edogawa Ranpo yang sebenar ialah seorang penulis dan perintis fiksyen misteri di Jepun. Nama penanya diambil dari sumber inspirasi utamanya, Edgar Allan Poe.


Edogawa tertarik dengan benda-benda aneh dan mengerikan seperti yang dapat dilihat dalam kebanyakan karya awalnya. Dia kemudiannya melibatkan diri dalam mempromosikan fiksyen detektif dan misteri di Jepun, mengasaskan Kelab Pengarang Detektif dan menerbitkan artikel mengenai sejarah fiksyen misteri di dalam dan luar negara.

 

5. Akutagawa Ryuunosuke

Akutagawa adalah ahli Port Mafia dan mempunyai kebolehan 'Rashōmon'. Kelebihannya itu mengubah pakaiannya menjadi raksasa yang mampu menghiris apa sahaja, termasuklah ruang. Dia adalah salah seorang ahli Port Mafia yang paling berkuasa dan berbahaya.


Akutagawa berpandangan bahawa orang yang lemah harus mati untuk memberi ruang kepada orang yang lebih kuat, mendorong kepada kekejamannya.

Akutagawa Ryunosuke sebenar pula adalah salah seorang penulis Jepun yang dikenali sebagai 'Bapa Cerita Pendek Jepun'. Dia paling terkenal dengan kisah-kisah kompleks dari segi psikologi yang berlatarkan zaman silam dan mitos Jepun. Salah satu cerpennya yang paling terkenal, Rashōmon, mengisahkan tentang pertemuan antara seorang hamba dan seorang wanita tua di Rashōmon, tempat di mana mayat dibuang.


Akutagawa juga dibelenggu oleh rasa tidak tenteram dan terasing sepanjang hidupnya, serta paranoia bahawa dia ditakdirkan untuk mempunyai gangguan mental dan menjadi gila ekoran kematian ibunya. Kegelapan itu menyelubungi kebanyakan karyanya.

 

6. Nakahara Chūya

Chūya adalah salah seorang daripada lima Eksekutif Port Mafia dan bekas pasangan Dazai. Dia mahir dalam ilmu seni bela diri dan suka berlawan. Kebolehannya, "For The Tainted Sorrow," membolehkan Chūya memanipulasi graviti bagi apa sahaja yang disentuhnya. Walau bagaimanapun, keupayaan utama Chūya adalah "Corruption" yang membenarkan dia untuk terus memanipulasi graviti di luar kawalannya.


Terdapat jampi yang diperlukan untuk mengaktifkan kebolehan Corruption dan ia berasal dari baris dalam puisi Sheep Song, oleh Chūya yang sebenar.

Nakahara Chūya adalah seorang penyair Jepun semasa era Showa. Dia terkenal dengan puisi yang penuh dengan emosi, irama dan ironi. Nakahara digelar sebagai seorang prodigy kerana kecemerlangannya dalam bidang akademik. Kematian adik lelakinya Tsugurō ketika dia berusia 8 tahun yang mendedahkannya kepada sastera.


Kebanyakan karyanya ditulis dengan makna yang agak kabur dalam bentuk pengakuan yang memberi gambaran umum tentang kesakitan dan kemurungan, satu emosi yang berterusan dirasai sepanjang hayat penyair ini.

 

7. Izumi Kyōka

Kyōka menyertai ADA selepas Atsushi menyelamatkannya dari Akutagawa yang memburunya kerana melarikan diri dari Port Mafia. Kebolehan Kyōka, White Snow Demon, membolehkannya mewujudkan hantu wanita yang memegang pedang. Makhluk itu dikawal mengikut arahan yang datang dari telefon bimbit yang selalu dibawa Kyōka.


Walaupun baru berusia 14 tahun, Kyōka adalah seorang yang kurang empati dan akan membunuh tanpa rasa ragu-ragu jika perlu.

Nama watak Izumi Kyōka adalah inspirasi dari penulis Jepun ketika zaman sebelum perang bernama Kyoutarou Izumi. Izumi menghasilkan karya-karyanya dalam bentuk novel, cerpen, dan drama kabuki.


Dia juga percaya kepada benda-benda karut, tema yang sering muncul dalam karyanya yang terkenal dengan kisah-kisah ghaib. Demon Pond adalah antara dramanya yang popular di Jepun dan kerap dipersembahkan hingga ke hari ini.

 

8. Kunikida Doppo

Kunikida adalah ahli Agensi Detektif Bersenjata yang rajin dan bertanggungjawab. Dia mengambil tugasnya dengan serius demi menjaga reputasi ADA. Dia menghormati nyawa manusia, termasuk penjenayah dan akan melakukan yang terbaik untuk mengelak daripada membunuh sesiapa.


Kebolehannya, ‘Doppo Poet’, membolehkan Kunikida untuk memanifestasikan objek yang ditulis pada halaman buku notanya. Keupayaan ini terhad kepada objek bersaiz tidak lebih dari saiz buku notanya.

Dalam dunia sebenar pula, Kunikida Doppo adalah seorang novelis dan penyair Jepun semasa zaman Meiji. Dia dianggap sebagai salah seorang Bapa Naturalisme Jepun dan sering meluangkan masa dengan alam semula jadi, walaupun dia juga berkecimpung dalam genre romantik.

Karya Kunikida bertumpu pada orang, tempat dan pemandangan yang biasa-biasa berbanding kisah tentang golongan berpengaruh di istana dan taman, atau pemandangan bunga sakura dan daun mapel yang banyak digunakan oleh penulis zaman dahulu.

Kebolehan ‘Doppo Poet’ yang digunakan watak BSD Kunikida tidak mewakili mana-mana karya sasteranya, sebaliknya merujuk kepada dirinya sebagai seorang penyair yang berbakat.


Formula pemodelan watak yang sama turut digunakan untuk watak-watak tokoh sastera terkenal dari barat, seperti Edgar Allan Poe, Agatha Christie, dan F. Scott Fitzgerald. Pertembungan budaya antara watak-watak sastera ini berlaku di jalanan bandar Yokohama, yang mana pemandangan malamnya berlatar belakangkan suasana siberpunk, menjana salah satu keunikkan siri anime ini.

Berasal daripada idea Asagiri untuk mengumpulkan tokoh sastera terkenal dan melukis mereka sebagai watak dengan kuasa ghaib, Bungo Stray Dogs adalah cara yang kreatif untuk memberi penghormatan dan menarik perhatian golongan muda kepada tokoh sastera, di samping membawakan kelainan kepada peminat siri aksi supernatural.

Populariti siri ini dan watak-wataknya walau bagaimanapun menyebabkan ramai penggiat bidang sastera mengadu kesukaran untuk melakukan pencarian dan kajian internet tentang tokoh sastera yang sebenar.

 

 

~ Penulis ~

Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom. 
Lihat profil

 

 

 

 

Daftar sekarang dan dapatkan 300yen percuma!Pameran barang anime Jepun

 

 

 

Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩

 

 facebook  instagram  twitter

 

 

 

Artikel| 20/12/2021 | AnimeAnime/Manga