Carian dihidupkanTukar kedai
Jimat Sehingga 15% untuk Penghantaran Music Store 09/08 00:00 - 09/29 23:59 JST Beli
Sejarah carian Kosongkan senarai

Berwajah Suci, Tetapi Hati-Hati dengan Watak-Watak Cilik Ini

Anime banyak memperkenalkan watak-watak ganas yang gemar melakukan penyiksaan serta kekejaman, dan watak kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada diberikan perwatakkan seperti itu. Kebanyakan watak kanak-kanak dalam anime adalah watak paling meninggalkan kesan kepada penonton, apabila keberanian mereka menandingi orang dewasa.


Watak kanak-kanak dalam anime sering diletakkan dalam pelbagai situasi berbahaya. Mereka dibenarkan untuk menggunakan senjata, membuat pilihan yang sukar, mengembara seorang diri, terlibat dalam pertempuran dan melakukan pelbagai tanggungjawab orang dewasa yang kanak-kanak sebenar tidak mampu untuk lakukan.

Jadi tidak hairanlah jika kebanyakan watak kanak-kanak dalam anime lebih matang. Malah ada kalanya mereka juga terlalu bijak dan licik.

Dari pandangan orang dewasa, kanak-kanak biasanya seorang yang menjengkelkan, bising, suka mengganggu, dan cenderung mengakibatkan keadaan menjadi kucar kacir.


Tetapi apa yang kita dapat saksikan dalam dunia anime, kanak-kanak bukan sahaja perlu dilindungi dan menjadi kompas moral untuk watak dewasa, mereka juga dapat membantu orang dewasa menyelesaikan masalah.


Malah ada juga watak kanak-kanak yang begitu licik dan berbahaya, dengan ciri-ciri psikopat yang menggerunkan. Apa yang lebih menakutkan adalah apabila mereka menggunakan rupa mereka yang suci bagi memanipulasi orang lain agar tidak takut kepada mereka, sebelum memerangkap mangsa menggunakan kuasa luar biasa yang mereka miliki.


Dalam artikel ini kita akan mengenali beberapa watak yang dikenali sebagai creepy childkerana kecenderungan mereka untuk bertindak kejam tanpa belas kasihan, walaupun wajah mereka kelihatan suci.

1. Selim Bradley (Pride), Fullmetal Alchemist Brotherhood


Selim Bradley atau diri sebenarnya, Pride, adalah seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, berpakaian seragam sekolah dan berpewatakkan ceria.

Ketika pertama kali diperkenalkan di bawah samaran Selim Bradley, Pride berkelakuan seolah-olah dia seorang budak lelaki biasa yang sangat obses dengan kisah-kisah hero. Dia menyanjungi bapanya, King Bradley, dan mempamerkan penghormatan yang tinggi seperti menulis laporan yang menarik tentang bapanya untuk projek sekolah. Selim juga mengagumi adik beradik Elric dan teruja apabila bertemu dengan mereka.

Menyamar sebagai seorang kanak-kanak yang kelihatan tidak bersalah agar tiada siapa yang mensyaki identitinya, Selim Bradley sebenarnya adalah homunculus pertama yang dicipta, dan paling berkuasa. Malah dia juga dianggap sebagai homunculus paling jahat, dan dibenci adik beradik homonculusnya sendiri. Selim begitu kejam sehingga sanggup membunuh adiknya sendiri dan rakannya untuk menyerap kuasa mereka tanpa rasa bersalah.

Fizikalnya yang menyerupai kanak-kanak sebenarnya hanyalah bekas yang menumpangkan diri sebenarnya, makhluk dalam bentuk bayang-bayang yang menakutkan.


Penipuan ini diperkuatkan lagi dengan perangai keanak-anakkan Selim yang suka menyakat Edward. Pride sebenar langsung tidak bersifat seperti ini, tetapi demi menyembunyikan identitinya, dia boleh bersorak seronok dan membuat jenaka dengan bersemangat sebagai Selim. Ramai orang yang terpedaya dan menganggap persona palsunya itu menawan hati.

2. Daida Hibana, Deadman Wonderland


Hibana adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun yang mendiami penjara Deadman Wonderland. Dia turut dikenali sebagai The Undertaker, orang yang bertugas menyediakan mayat untuk pengebumian dan pengabuan, pangkat yang tidak ramai akan jangka dipegang oleh seorang budak kecil.

Hibana memakai gaun pendek tanpa lengan berwarna merah jambu dengan pemanas lengan, dan rambut perangnya diikat kuat ke belakang dengan reben bermanik. Dia memakai kasut getah dan bertubuh sangat pendek. Matanya yang besar dan berwarna biru muda membuat dia kelihatan suci dan tidak bersalah. Tetapi siapa sangka di sebalik penampilannya yang girly dan tubuh yang kecil, Hibana adalah seorang psikopat dengan kekuatan luar biasa. Rupanya membuat orang lain tidak takut untuk menghampirinya, memberi peluang untuk dia menghayunkan pedang besar pada musuhnya.


Walaupun usia yang sangat muda, Hibana adalah salah seorang watak paling sadis dalam Deadman Wonderland. Dia mempunyai ketaksuban untuk menyeksa, atau yang dipanggilnya sebagai 'menghukum’, apabila seseorang itu melakukan kesalahan dan melanggar peraturan. Hibana percaya tujuan dia melakukan kekejaman adalah demi keadilan sebagai seorang gadis yang berakhlak.

Perwatakkan psikopat Hibana adalah akibat didera oleh ibunya ketika kecil. Ibunya menderanya dengan alasan bahawa layanan kejam itu akan menjadikan Hibana seorang gadis yang baik. Jadi dari kecil Hibana diajar bahawa untuk menjadi seorang gadis yang baik, dia perlu menghukum orang yang membuat salah. Apabila beberapa rakan tadikanya menyelak kainnya, Hibana menyeksa dan membunuh mereka. Apabila ditangkap, dia memberi alasan bahawa rakannya melakukan sesuatu yang buruk, jadi dia bertanggungjawab untuk menghukum mereka. Dia juga menjadi penyebab ibunya mati, mengakui bahawa ibunya mengajar dia dengan begitu baik sehingga dia dapat mengajar ibunya kembali, menandakan bahawa dia menyeksa ibunya seperti ibunya menyeksanya.

3. Kagura, Gintama


Sekali pandang, Kagura langsung tidak kelihatan berbahaya. Dia memakai pakaian tradisi Cina dengan perhiasan di rambut, tetapi di bawah badannya yang kecil tersimpan kekuatan fizikal menandingi pahlawan perang. Kagura adalah seorang gadis berusia 14 tahun yang naif dari kaum makhluk asing yang mengembara ke Bumi selepas kematian ibunya. Oleh kerana dia diabaikan oleh bapa dan abangnya, Kagura tidak tahu cara membawa diri di tempat yang asing sehingga dia diguna-gunakan oleh kumpulan Yakuza untuk melakukan pelbagai perkara buruk.

Walaupun membawa watak yang lucu dan ceria dengan sifat yang jujur, Kagura menyembunyikan rahsia paling gelap tentang dirinya, iaitu nalurinya untuk bertempur sebagai ahli dari kaum Yato, kaum pahlawan yang mempunyai kuasa fizikal luar biasa dan mengamalkan budaya bertempur, termasuklah dengan ahli keluarga sendiri untuk membuktikan kekuatan.

Rahsia ini terbongkar apabila dia diprovokasi dan ahli keluarganya diugut bunuh. Dalam keadaan terdesak, Kagura terus hilang kesedaran diri dan berubah menjadi makhluk yang ganas. Apabila tidak dapat menahan naluri Yatonya, Kagura dapat bertempur tanpa merasakan sebarang kesakitan dan dapat mengalahkan pahlawan perang paling berpengalaman.


Namun tidak seperti watak kanak-kanak yang lain, Kagura mengakui tidak suka dengan dirinya apabila dia tewas kepada nafsu Yatonya. Itu tidak menghalang gadis cilik ini untuk menggunakan keganasan bagi mendapatkan apa yang diinginkan.

4. Killua, Hunter x Hunter


Ketika pertama kali diperkenalkan, Killua kelihatan seperti kanak-kanak lelaki biasa, ceria, lucu, dan suka makanan ringan terutamanya coklat. Dia juga suka menunjuk-nunjuk kemahirannya bermain skateboard dan yoyo.

Tetapi disebalik wajahnya yang comel dan perwatakkannya yang cool sebenarnya tersimpan rahsia dirinya sebagai pembunuh upahan terlatih, ganas dan dahagakan darah.

Seperti bunyi namanya, Killua adalah seorang kanak-kanak yang dibesarkan oleh keluarga pembunuh upahan. Walaupun baru berusia 12 tahun, Killua mampu menewaskan orang dewasa dalam pertempuran.

Killua dibesarkan untuk mewarisi legasi seluruh keluarga Zoldyck sebagai pembunuh upahan profesional. Sejak kecil dia telah menjalani pelbagai jenis latihan berat melibatkan penyeksaan dan toleransi kesakitan. Semua ahli keluarganya membesarkannya dengan matlamat dia akan menjadi mesin pembunuh yang dahagakan darah tanpa sebarang rasa belas kasihan pada suatu hari nanti.


Tetapi sejak dia menyedari manipulasi ahli keluarganya, Killua membuat keputusan untuk memberontak dan mencari jalan hidupnya serta keperibadiannya sendiri.

Namun itu langsung tidak bermakna dia enggan menggunakan kekejaman untuk menyelesaikan masalah, kerana dia tetap tidak keberatan untuk membunuh sesiapa sahaja yang menyalahinya.

Apabila bersama rakan-rakannya Killua biasanya menjadi dirinya yang ceria tetapi apabila dalam masalah, Killua mampu memenggal kepala dan mencabut jantung musuh dengan tangannya sendiri.

5. Alluka, Hunter X Hunter


Walaupun dibesarkan dalam keluarga pembunuh upahan seperti abangnya, Alluka langsung tidak mempunyai sebarang kemahiran pertempuran atau naluri untuk menggunakan keganasan. Malah dia juga tidak diletakkan di bawah latihan ketahanan yang sama seperti abangnya.

Namun akibat dirasuk oleh makhluk misteri dari Dark Continent, adik perempuan Killua ini menjadi salah seorang kanak-kanak paling menakutkan dalam anime.

Alluka adalah setahun lebih muda dari Killua, dan mempunyai penampilan yang comel seperti watak kanak-kanak perempuan sebayanya. Dia memakai pakaian penjaga kuil berwarna merah jambu dan hijau bersama perhiasan rambut, dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Killua.

Walaupun bapa mereka menyifatkan Alluka sebagai seorang yang tidak terkawal dan tidak mempunyai emosi, Alluka sering menunjukkan personaliti yang ceria dan manja dengan Killua. Tetapi di sebalik sifatnya yang periang dan penyayang itu, Alluka sebenarnya berkongsi tubuh dengan makhluk menakutkan yang dikenali sebagai Nanika.


Nanika mempunyai kuasa untuk menunaikan permintaan sesiapa sahaja apabila 3 permintaan Alluka ditunaikan oleh seseorang. Jika seseorang itu menolak permintaan Alluka sebanyak 4 kali, Nanika akan mengambil alih tubuh Alluka menyebabkan mata dan mulutnya menjadi hitam untuk menunaikan satu hajat dari sesiapa pun.

Semakin besar hajat yang dibuat kepada Nanika, semakin sukar permintaan yang akan dibuat Alluka selepas itu. Jika seseorang itu menolak atau gagal memenuhi permintaan Alluka sebanyak empat kali, dia akan dilenyek oleh satu kuasa halimunan sehingga badannya hancur, sementara orang-orang terdekatnya juga berisiko untuk dibunuh oleh Nanika. Jumlah korban Nanika bergantung pada kesukaran permintaan Alluka yang ditolak.

6. Nezuko, Demon Slayer


Siapa yang tidak kenal Nezuko, watak yang digila-gilakan peminat Demon Slayer kerana kecantikannya. Nezuko adalah adik kepada Tanjiro yang berusia 12 tahun dan pada asalnya seorang yang lemah lembut dan berdikari.

Namun selepas bertukar menjadi syaitan, Nezuko sentiasa bersama abangnya agar dia tidak cuba menyerang manusia atau cuba dibunuh pembunuh syaitan yang lain. Dia juga pernah cuba menyerang abangnya sendiri apabila pertama kali sedar dalam tubuh syaitannya.

Penampilan sebenar Nezuko adalah seperti gadis remaja biasa, dengan rambutnya disanggul ke belakang. Dia juga dilihat sebagai seorang yang bertanggungjawab menjaga adik-beradiknya yang lain.

Setelah berubah menjadi syaitan, mata Nezuko berubah menjadi merah jambu, sepadan dengan kimono yang dipakainya yang kadang kala kelihatan terlalu besar apabila dia mengecilkan saiz badannya. Rambutnya yang panjang juga dilepaskan kerana abangnya tidak pandai mengikat rambutnya. Nezuko juga tidak banyak bercakap kerana percakapannya tersekat oleh buluh yang disumbat di mulutnya untuk menghalang dia dari merasa darah manusia.

Penampilan Nezuko yang kelihatan tidak terurus serta keupayaannya untuk mengubah saiz tubuh membuatkan Nezuko kelihatan seperti seorang syaitan yang comel, walaupun dengan taring dan kukunya yang tajam. Tetapi rupanya itu sangat memperdayakan kerana Nezuko adalah seorang syaitan yang kuat dan boleh berubah menjadi ganas jika terdesak.


Dia berupaya melakukan kekejaman seperti memenggal kepala musuh dengan hanya satu sepakan, dan dalam berserk mode, Nezuko boleh berubah menjadi versi dewasanya yang menyerupai pontianak dengan tanduk di dahi.

Nezuko paling kuat dalam bentuk dewasanya kerana tubuhnya diambil alih sepenuhnya oleh sisi syaitannya. Dalam bentuk dewasa, dia lupa tentang identitinya sebagai manusia dan keganasannya tidak dapat dikawal. Dia juga terpaksa meminum darah manusia untuk mengembalikan tenaga.

Semua watak kanak-kanak yang tersenarai di atas mempunyai satu persamaan, iaitu mereka berpenampilan comel dengan wajah yang suci. Orang yang pertama kali bertemu dengan mereka mungkin tidak sedar betapa bahayanya semua kanak-kanak ini kerana terpedaya dengan wajah tidak bersalah mereka.

Tetapi apabila diprovokasi atau ketika berdepan dengan musuh, masing-masing akan menunjukkan sisi gelap yang tersembunyi di sebalik tubuh kecil mereka, sehingga musuh tidak sempat untuk mempertahankan diri dari keganasan mereka.

 

 

~ Penulis ~

Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom. 
Lihat profil

 

 

 

 

Daftar sekarang dan dapatkan 300yen percuma!Pameran barang anime Jepun

 

 

 

Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩

 

 facebook  instagram  twitter

 

 

 

Artikel| 09/12/2021 | AnimeAnime/Manga

 

Perkhidmatan Beli-Belah Jepun Anda!

ZenMarket ialah Servis Proksi Beli-Belah untuk Kedai Jepun & Bidaan, dengan Servis Penghantaran Antarabangsa. Lihat butiran tentang servis kami atau hubungi Khidmat Pelanggan di laman bantuan kami. Belum ada akaun beli-belah? Daftar akaun PERCUMA di sini dan dapatkan 500 ZenPoints percuma untuk pembelian pertama anda.

Lihat Item Popular