Carian dihidupkan, Tukar kedai
Potongan sehingga 5,000yen kod "MAY24" LAGI

KARAKTER YANG MUNGKIN RELATE DENGAN ANDA YANG MENGALAMI QUARTER LIFE CRISIS

Memasuki usia dewasa bernakna seseorang itu kini dianggap mampu memikul tugas, bertanggungjawab atas tindakannya, memenuhi keperluan hidup, dan menyumbang kepada masyarakat. Sebahagian besar individu boleh dianggap telah dewasa sebaik mereka terjun ke dalam dunia pekerjaan secara aktif. Namun, dunia pekerjaan yang penuh dengan persaingan dan pelbagai tuntutan seringkali menghilangkan keseronokan dalam hidup seseorang, terutamanya mereka yang baru saja menjangkau dari alam remaja yang penuh dengan hiburan dan kebebasan dan dipaksa untuk memasuki alam dewasa. Tempoh peralihan ini biasanya disertai dengan krisis emosi yang dipanggil quarter life crisis.

Quarter life crisis adalah tempoh di mana seseorang itu sering berasa resah dan tidak pasti dalam menentukan arah serta tujuan hidup. Mereka yang melalui krisis ini sering mengalami isu-isu seperti:

  • Sukar mengenalpasti keperluan hidup dan membuat keputusan
  • Rasa terperangkap dengan pilihan yang dibuat
  • Keliru sama ada untuk mengejar impian atau memilih kehidupan biasa tetapi terjamin
  • Takut rasa ketinggalan apabila dibandingkan dengan orang lain, terutama dengan golongan sebaya
  • Kurang motivasi, selalu rasa penat, tertekan, cemas, dan murung.

Perasaan bercampur baur yang dialami ketika dalam quarter life crisis dapat berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan, namun yang paling ketara adalah dalam kehidupan pekerjaan. Mengapa begitu?

Seperti yang diterangkan di atas, banyak orang yang mengalami quarter life crisis rasa keliru dalam menentukan tujuan hidup mereka atau apa yang sebenarnya mereka inginkan dalam hidup. Kebanyakan orang-orang yang keliru ini bergantung sepenuhnya pada kerjaya mereka dengan harapan mereka dapat menemui erti atau tujuan hidup dari pekerjaan yang mereka lakukan, dan apabila perkara yang diharapkan tidak terjadi maka lahirlah kekecewaan.

 

Bekerja adalah tentang satu pencarian makna dan makanan harian , untuk penghargaan serta wang tunai, untuk keterujaan daripada kehausan. Pendek kata, bekerja adalah untuk mencari tujuan hidup dan bukannya rasa ingin mati dari Isnin hingga Jumaat.” — Studs Terkel

 

Jika sudah namanya bekerja pasti ia datang dengan pakej pelbagai perkara yang menjengkelkan, seperti kerja lebih masa, gaji kecil, majikan atau rakan sekerja yang tidak menyenangkan dan sebagainya. Situasi ini mengumpulkan pelbagai perkara negatif yang membuatkan seseorang itu kecewa dengan kerjanya. Apabila rasa kekecewaan melebihi rasa kepuasan, maka akan timbul perasaan menyampah yang jika terkumpul boleh membuat seseorang itu menjadi benci dengan pekerjaan mereka.

Terdapat 4 aspek penting yang perlu diambil kira semasa menilai sesuatu pekerjaan. Jika seseorang itu membenci pekerjaannya, pasti puncanya adalah disebabkan ia tidak memenuhi salah satu atau semua aspek berikut:

  1. Jenis kerja (adakah ia sepadan dengan minat/matlamat hidup anda?)
  2. Gaji dan ganjaran lain (adakah ia memenuhi keperluan?)
  3. Peluang kerjaya (adakah terdapat peluang untuk naik pangkat?)
  4. Hubungan dengan pihak atasan dan rakan sekerja (adakah positif atau negatif?)

 

Dilema tentang kehidupan vs. pekerjaan ini adalah masalah klasik bagi manusia, jadi walaupun dalam dunia anime dan manga, tema ini sering diketengahkan. Banyak watak yang digambarkan sebagai tidak gembira atau membenci pekerjaan mereka tetapi mereka tidak boleh lari daripada kerjaya yang dipilih atas alasan tersendiri.

Berikut ialah 3 watak pilihan pengarang yang paling ikonik. Mari kita analisa situasi mereka bersama-sama menggunakan 4 perkara yang kita bincangkan di atas. Dengan merenungkannya, mungkin anda yang melalui pengalaman yang sama sedikit sebanyak boleh mencari perspektif baru atau mencari cara untuk coping yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.

 

1. Nanami Kento (Jujutsu Kaisen)

Nanami Kento ialah watak sampingan daripada siri popular Jujutsu Kaisen. Dia seorang lelaki dewasa berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pemantera Jujutsu atau Jujutsu sorcerer.. Tugas utamanya sebagai Jujutsu sorcerer adalah untuk melindungi manusia daripada segala perkara yang berkaitan dengan curses atau sumpahan.



Nanami adalah seorang yang logik serta mampu menilai watak dan kebolehan orang lain. Dia tidak selalu menunjukkan emosi dan cenderung untuk kelihatan dingin, tetapi akan secara terang-terangan menunjukkan rasa tidak gemarnya terhadap sesuatu atau seseorang. Dalam menjalankan tugas, Nanami mempunyai beberapa prinsip hidup yang dipegang dan dipatuhi secara konsisten iaitu mengikut peraturan dan bertanggungjawab ke atas tugas dan tindakannya.

Walaupun mempunyai dedikasi tinggi terhadap tugasnya, Nanami pernah meninggalkan dunia Jjujutsu kerana menganggap menjadi jujutsu sorcerer itu membebankan. ” Dia kemudian menjalani kehidupan biasa dan bekerja di pejabat sebagai broker saham. Matlamatnya adalah untuk mengumpul wang yang mencukupi untuk bersara awal, kemudian menghabiskan sisa hidupnya tinggal di negara dengan kos sara hidup yang rendah.

Walau bagaimanapun, ketika bekerja sebagai broker saham, dia menyedari beberapa perkara:

  • Nanami secara semulajadinya mempunyai kepakaran dalam apa sahaja bidang yang diminatinya, sama ada dia bekerja sebagai Jujutsu sorcerer mahupun broker saham.
  • Kerana kemahirannya yang tinggi, pihak atasan meletakkan harapan yang tinggi padanya untuk membawa keuntungan kepada syarikat. Majikannya adalah seorang yang hanya mementingkan keuntungan sehingga sanggup menipu pelanggan dan perkara ini bertentangan dengan integriti dan keperibadian Nanami.
  • Walaupun dibayar gaji yang besar, pekerjaannya yang akhirnya hanya mengkayakan mereka yang sudah kaya, tidak memberi makna dalam hidup Nanami.

 

Nanami kemudian membuat kesimpulan bahawa konsep pekerjaan adalah tidak berguna tidak kira dalam bidang apa sekalipun.. Di antara dua pekerjaan yang dilakukan dan dibencinya, dia memilih pekerjaan yang memerlukan lebih banyak bakat dan lebih memberi makna, iaitu menjadi Jujutsu sorcerer. 

 

Mari kita nilai 4 perkara dari pekerjaan Nanami sebagai Jujutsu sorcerer:

 

A. Jenis Pekerjaan

Tugas utama Jujutsu sorcerer adalah untuk menghapuskan cursed spirit atau roh sumpahan bagi melindungi manusia. Tugas-tugas lain termasuklah menyiasat kematian yang berkaitan dengan cursed spirit dan menenangkan cursed object. Mereka juga sering perlu berhadapan dengan curse user menggunakan kuasa Jujutsu mereka bagi tujuan jahat.

Untuk dapat melakukan tugas-tugas Jujutsu sorcerer syaratnya adalah perlu mempunyai cursed energy dan dapat melihat cursed spirit. Sebelum menjadi Jujutsu sorcerer profesional, pemantera Jujutsu perlu dilatih di sekolah Jujutsu terlebih dahulu. Semasa di sekolah, pelajar diajar secara praktikal di lapangan.

Sepanjang menjadi Jujutsu sorcerer (baik sebagai pelajar praktikal yang masih berlatih di lapangan mahupun setelah menjadi profesional), Nanami menyedari beberapa perkara, iaitu:

  • Tidak ramai orang yang boleh menjadi Jujutsu sorcerer bermakna sentiasa ada kekurangan tenaga kerja.
  • Tahap kes yang diterima sukar untuk ditentukan, jadi ada kemungkinan seseorang itu akan diberi tugas di luar kemampuannya.
  • Pekerjaan juga berisiko tinggi dan ada kemungkinan kehilangan nyawa semasa bertugas.
  • Menghadapi situasi sukar seperti berdepan jalan mati dan terpaksa mengabaikan nyawa rakan sekerja untuk menyelamatkan orang lain.
  • Berdepan dengan situasi seperti terpaksa membunuh seseorang yang mustahil untuk diselamatkan.
  • Pelajar Jujutsu sorcerer adalah golongan yang tidak matang dari segi emosi dan tidak layak berada dalam situasi hidup dan mati.
  • Pelajar yang berlatih di lapangan tidak selalu diawasi oleh orang dewasa yang mempunyai tahap kebolehan melebihi mereka.

Tidak jelas bila Nanami meninggalkan dunia sihir Jujutsu, tetapi apabila dia kembali dia lebih matang dan sedar sepenuhnya tentang risiko yang diambilnya. Kali ini dia menjalankan tugas mengikut prinsip yang dipegangnya. Daripada pengalaman bekerja di pejabat, dia percaya keseimbangan antara tugas dan usaha itu penting.

 

Nanami Kento motto about overtime

(Kanan) Itadori: “Jom kita berusaha sedaya upaya!" | Nanami: “Jika ia boleh diselesaikan dengan usaha biasa, gunakan usaha biasa-biasa saja.” - Chapter 19
(Kiri) “Saya benci kerja lebih masa, jadi mari kita selesaikan perkara ini dengan cepat.” - Chapter 21

 

Selain itu, dari pengalaman sebagai Jujutsu sorcerer, Nanami menyedari peranan penting orang dewasa dalam membimbing generasi muda. 

“Ini bukan soal memandang rendah atau tidak. Saya sudah dewasa, dan kamu masih muda.  Saya mempunyai tanggungjawab untuk mengutamakan keselamatan kamu daripada keselamatan diri saya. ” - Chapter 19

 

B. Gaji dan ganjaran

Tidak ada dinyatakan dengan jelas berapa gaji Jujutsu sorcerer , tetapi dipercayai gaji mereka adalah besar. Ini bukan luar biasa memandangkan pekerjaan ini juga mempunyai risiko kematian yang tinggi. Setakat ini apa yang jelas adalah semakin tinggi level seseorang Jujutsu sorcerer, itu, semakin tinggi gajinya.

Nanami yang memegang jawatan sebagai Jujutsu sorcerer gred 1 boleh dikatakan memperoleh pendapatan melebihi purata. Ia dapat dilihat daripada gaya hidupnya yang berkelas tinggi, seperti pakaian dan aksesori yang dipakainya.

Nanami Kento watch Tag Heuer Carrera edition

Menurut analisis peminat terhadap cover manga jilid 11, jam tangan yang dipakai Nanami adalah Tag Heuer Carrera Edition dengan harga mencecah MYR 25,000.

 

C. Peluang kerjaya

Sebagai Jujutsu sorcerer profesional, Nanami berada pada tahap tertinggi yang boleh dicapainya iaitu gred 1. Dia tidak akan dapat mara ke tahap istimewa kerana hanya orang yang mempunyai bakat dan situasi luar biasa sahaja yang berada di tahap ini. Selain itu, masih belum diketahui apakah kriteria yang diperlukan untuk menjadi Jujutsu sorcerer berpangkat tinggi.

 

D. Hubungan dengan pihak atasan dan rakan sekerja

Sehingga setakat ini dalam cerita Jujutsu Kaisen, tidak jelas siapa golongan atasan dalam dunia kerjaya Jujutsu sorcerer. Namun berdasarkan penjelasan Gojo Satoru, dapat disimpulkan bahawa golongan atasan terdiri daripada golongan orang tua yang berfikiran kolot dan lapuk, hanya mementingkan keturunan dan kepentingan golongan mereka sahaja. Golongan yang berkedudukan tinggi ini tidak teragak-agak untuk menggunakan pelbagai cara kotor bagi mencapai matlamat mereka, seperti sengaja memberikan pemantera Jujutsu yang tidak berpengalaman kes-kes dengan tahap kesukaran yang jauh lebih tinggi daripada kebolehan mereka, atau cuba membunuh seseorang dan menyamarkan kematiannya sebagai kemalangan kerja.

Nanami mengakui dia benci cara orang atasan Jujutsu sorcerer bekerja. Walau bagaimanapun, dia tetap memilih untuk mengikut peraturan kerana itu adalah prinsip hidupnya.

 

Jujutsu Kaisen Nanami Gojo Ieiri Ichiji

 

Secara umumnya Nanami memiliki hubungan yang profesional dan dapat bekerja dengan baik dengan rakan sekerjanya.

Seperti yang diperhatikan Nanami beberapa kali bekerja dengan Ijichi Kiyotaka, seorang penolong pengarah yang juga bertugas sebagai pemandu. Ijichi menghormati Nanami – sebagai orang dewasa yang bersikap matang dan berkelakuan seperti orang dewasa sebenar berbanding pemantera seusianya yang lain (Gojo Satoru) – Ijichi mengagumi sikap Nanami yang sentiasa berusaha untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin. Sebaliknya, Nanami juga nampaknya boleh bergantung kepada Ijichi apabila diperlukan.

Selain itu, Nanami juga ada berinteraksi dengan seniornya, Ieiri Shoko yang bekerja sebagai doktor di sebuah sekolah Jujutsu. Kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu sikap mereka yang serius dan tidak mengikut perasaan ketika menjalankan tugas. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan betapa mereka mengambil berat terhadap orang lain.

Sebaliknya pula, Nanami mempunyai sifat yang bertentangan dengan Gojo Satoru yang lebih santai dan suka bertindak sesuka hati. Walaupun tidak menghormati Gojo, Nanami mengakui bahawa dia mempercayai seniornya itu. Begitu juga Gojo yang percaya walaupun Nanami seorang yang dingin dan tidak mesra, dia dapat memahami penderitaan orang lain.

 

Nanami Yuuji Ino Jujutsu Kaisen

Hubungan Nanami dengan juniornya amat ketara dalam keupayaannya memimpin mereka ketika berhadapan dengan krisis. Dia boleh mengawal aktiviti lapangan dengan cepat, membahagikan tugas dan memberi arahan. Juniornya Ino dan Itadori mengkagumi Nanami sebagai tokoh mentor yang boleh dipercayai.

Boleh dikatakan Nanami mempunyai hubungan yang baik dan dihargai oleh rakan sekerjanya.

 

Sebab Nanami membenci pekerjaannya

Setelah mempertimbangkan 4 aspek kepuasan kerja di atas, sebab Nanami membenci pekerjaannya sebagai Jujutsu sorcerer adalah:

  • Pekerjaan melibatkan risiko terhadap nyawa dan keadaan lapangan yang tidak menentu.
  • Kekurangan tenaga kerja menyebabkan beban kerja dan risiko menjadi lebih besar.
  • Kurangnya pengawasan oleh orang dewasa yang lebih mahir dalam bidang tersebut, maka pemantera terpaksa mempraktikkan "learning by doing"
  • Perlu menyelamatkan orang lain walaupun membahayakan nyawa rakan sekerja.
  • Terpaksa membunuh orang yang mustahil untuk diselamatkan.
  • Sifat pekerjaan memaksa seseorang itu untuk menjadi matang dengan cepat.
  • Pihak atasan yang mempunyai kepentingan sendiri dan sanggup menggunakan cara kotor dalam kerja.

Berdasarkan penilaian tersebut, tidak hairanlah Nanami berpendapat menjadi Jujutsu sorcerer itu adalah sesuatu yang tidak berbaloi. Kebanyakan masalah yang dihadapi Jujutsu sorcereradalah di luar kawalan mereka dan masih belum ada pencegahan atau jalan penyelesaian yang berkesan.

Cara Nanami menangani tekanan dan kesukaran di tempat kerja adalah dengan menikmati pelbagai jenis roti, dan minum alkohol. Aktiviti ini sememangnya bukan penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya, tetapi caranya bertahan dengan keputusannya untuk kembali menjadi Jujutsu sorcerer.  

 

Sebab Nanami masih tetap dengan pekerjaannya

Walaupun banyak benda yang dibencinya tentang kerjayanya sebagai Jujutsu sorcerer, Nanami memilih pekerjaan yang bergantung pada bakat dan hanya boleh dilakukan segelintir orang sahaja. Dengan keupayaannya untuk melihat cursed spirit dan menggunakan cursed energy, Nanami tidak boleh mengabaikan masalah yang ada dihadapannya.

Sebagai seorang yang berintegriti tinggi, Nanami berasa lebih berguna apabila dia berusaha untuk menghapuskan sumpahan dan apa yang dilakukannya memberi impak yang baik kepada orang yang benar-benar memerlukan kemahirannya.

Nanami Kento getting thanked

Nanami dan pekerja kedai roti yang terkena sumpahan, - Bab 30

 

Walaupun memutuskan untuk meninggalkan dunia Jujutsu dan bekerja sebagai broker saham, Nanami masih tidak boleh mengabaikan orang yang terkena sumpahan dan akhirnya memilih untuk memberikan bantuan. Perkara yang menjadi titik perubahan dalam dirinya ialah apabila dia memutuskan untuk membantu pekerja kedai roti kegemarannya.

Ucapan terima kasih yang ikhlas daripada orang yang dibantunya mengingatkan Nanami bahawa kewujudannya memberi makna. Nanami yang merasakan bahawa dia tidak mempunyai sebab untuk hidup, menyedari bahawa keinginan untuk menjalani hidup yang bermakna dan keinginannya untuk mati tanpa penyesalan adalah lebih besar daripada keinginannya untuk menikmati kehidupan yang senang di hari tua.

 

 

 

2. Uramichi Omota (Uramichi Oniisan)

Uramichi Omota ialah seorang lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai hos untuk program pendidikan kanak-kanak Together with Mama.” Dalam rancangan ini, Uramichi yang dipanggil sebagai Uramichi Oniisan memainkan peranan sebagai taiso no oniisan, abang yang bertugas mengajar sukan dan aktiviti fizikal.

Sebenarnya, Uramichi dikira terlebih kelayakan atau overqualified untuk bekerja sebagai guru sukan dalam rancangan televisyen kanak-kanak. Sepanjang pengajiannya, beliau merupakan antara pelajar terbaik dari Nippon Sport Science University yang terkenal sebagai kolej melahirkan graduan atlet. Rakan sekerja yang juga rakan kolejnya turut mempersoalkan keputusannya untuk berhenti menjadi atlet gimnas dan mensia-siakan potensinya.

Uramichi mempunyai emosi yang kosong, tidak bersemangat tentang kehidupan, dan cenderung untuk murung. Namun, kerana kariernya melibatkan kanak-kanak, Uramichi perlu menunjukkan personaliti yang ceria. Selain itu, dalam berurusan dengan rakan sekerja dan pihak atasan, dia juga dituntut untuk sentiasa memberi kerjasama tanpa banyak bantahan. Ketidakselarasan antara emosi sebenar dan emosi yang ditunjukkan sering menyebabkan keretakan pada ‘social mask’ yang dipakainya, sehingga kadang kala dia terluahkan pandangan hidupnya yang suram kepada kanak-kanak.

Semakin cerita berkembang, Uramichi didedahkan bahawa dia berada dalam dunia gimnastik bukan atas kehendaknya sendiri, tetapi untuk memenuhi kehendak ibu bapanya. Daripada maklumat ini, dapat disimpulkan bahawa tidak hairanlah jika Uramichi pada masa ini mempunyai keadaan fizikal yang bagus kerana tuntutan kariernya tetapi ia tidak disertai dengan emosi yang stabil. Perkara ini dicerminkan dalam cara dia sering menunjukan sikap pasif-agresif dan menggunakan sindiran apabila berbual, baik dengan rakan sekerja mahupun kanak-kanak dalam rancangan Together with Mama.


 

Namun lain pula apabila dia berhadapan dengan pihak atasan, Uramichi tidak mempunyai pilihan selain untuk bersetuju dengan apa sahaja yang mereka minta tanpa menunjukkan sedikit pun tentangan demi mengekalkan pekerjaannya, walaupun perkara itu mendorong keadaan mentalnya untuk menjadi lebih teruk. Dalam pekerjaan, orang dewasa dijangka untuk menunjukkan sikap profesional. Tetapi jika anda terpaksa mengorbankan kebahagiaan diri, adakah pekerjaan itu berbaloi untuk dipertahankan?

 

Mari kita nilai 4 aspek kerja Uramichi Oniisan seperti berikut:

 

A. Jenis Pekerjaan

Tugas utama Uramichi Oniisan adalah membimbing kanak-kanak dalam sukan dan aktiviti fizikal bersama-sama. Tugas lain termasuklah mengacarakan segmen pemberian pendapat, memainkan peranan dalam persembahan lagu dan drama pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas tersebut, Uramichi dikehendaki untuk tampil ceria dan dapat memeriahkan suasana, membina hubungan yang mesra dengan kanak-kanak, memberi contoh dan tunjuk ajar serta memberi nasihat hidup yang mudah difahami kanak-kanak, di samping memainkan peranan.

Uramichi Oniisan melaksanakan tugasnya dengan cara:

  • Tampil ceria dan memeriahkan suasana, tetapi dengan mudah kehilangan tenaga dan mendedahkan fikiran negatifnya di hadapan kanak-kanak.
  • Menghormati kanak-kanak dengan meletakkan dirinya pada paras mata apabila bercakap dengan mereka.
  • Sentiasa menjawab soalan kanak-kanak yang suci dan jujur dengan jawapan yang tidak kurang jujurnya.
  • Mampu menangani emosi kanak-kanak, walaupun kadangkala menggunakan ancaman tentang kehidupan orang dewasa.
  • Memberi nasihat hidup yang suram dan sukar difahami kanak-kanak walaupun ada kalanya dia juga boleh memberi nasihat yang berhikmah.
  • Sanggup memakai kostum yang pelik dan memastikan kanak-kanak seronok bermain dengan watak yang dilakonkannya.

Boleh dikatakan Uramichi dapat melunaskan tanggungjawab dalam pekerjaannya, walaupun ia tidak sesuai untuk kesihatan mental kanak-kanak. Pandangan hidupnya yang begitu negatif dan kadangkala di luar kemampuan kefahaman kanak-kanak mengundang pelbagai reaksi. Reaksi biasa yang diterimanya dari kanak-kanak adalah terkejut, cubaan untuk menghiburkannya, atau luahan tidak mahu menjadi sepertinya apabila dewasa.

“ Apabila sudah dewasa, kamu perlu berhenti menangis sendiri, kerana tidak ada orang lain yang akan mengajak kamu main cak-cak. ” - Chapter 1

 

Menariknya, kanak-kanak sebenarnya suka dan rasa simpati dengannya. Kadang kala Uramichi menerima ucapan terima kasih dan kata-kata semangat. Walaupun membenci pekerjaannya, Uramichi mengakui berinteraksi dengan kanak-kanak adalah saat dia rasa paling bersemangat.

 

B. Gaji dan ganjaran

Walaupun gaji Uramichi tidak pernah dinyatakan dengan jelas, melihat pada gaya hidupnya, dia mampu tinggal bersendirian di apartmen, membeli-belah untuk keperluan harian, merokok dan mengambil alkohol, makan di luar bersama rakan sekerja, dan menjadi ahli gim. Boleh dikatakan dengan gajinya sebagai pengacara TV kanak-kanak, Uramichi mampu memenuhi keperluan hariannya dan tidak mengalami masalah kewangan.

 

C. Peluang kerjaya

Tidak jelas sama ada Uramichi mempunyai peluang kerjaya untuk dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi atau tidak. Pada suatu ketika, kemahiran melukisnya yang biasa-biasa sahaja diketahui dan disukai oleh pihak atasan. Malah akhirnya Uramichi perlu bertugas di luar waktu kerjanya.

 

D. Hubungan dengan pihak atasan dan rakan sekerja

Pengarah Derekida mempunyai sikap yang ceria, mudah mesra, dan sering memuji kerja keras pekerja bawahannya. Dia juga sering bertanya khabar orang bawahannya, walaupun sekadar untuk berbual kosong dan tidak begitu memberi perhatian, apatah lagi mengambil peduli tentang keadaan mereka. Sebaliknya, dia juga mendapat tekanan daripada pihak atasan dan jabatan-jabatan lain, maka dia mengarahkan orang bawahannya dengan permintaan yang tidak dapat ditolak dan keputusan yang selalunya tidak munasabah.

Uramichi oniisan director derekida

Apabila menghadapi tekanan daripada majikannya, Uramichi hanya berkelakuan pasif dan tidak banyak melawan. Dia bersikap seperti itu kerana takut kehilangan pekerjaan jika dia menyinggung perasaan pihak atasan. Uramichi pernah beberapa kali cuba menolak permintaan pengarah Derekida, malangnya ia tidak diendahkan.

 

Uramichi oniisan Iketeru Utano Kumatani Usahara

Uramichi memiliki hubungan yang berbeza-beza dengan setiap rakan kerjanya.

Kumatani dan Uramichi menpunyai hubungan saling hormat-menghormati kerana kedua-duanya memang mempunyai sifat yang sama iaitu suka memencilkan diri dan tidak suka masuk campur urusan orang lain.

Sebaliknya, Usahara adalah seorang yang lantang, tidak sensitif dan suka bergosip tentang Uramichi. Akibatnya, Uramichi sering menggunakan Usahara untuk meluahkan kemarahannya. Namun anehnya, Usahara yang mengakui takut dengan Uramichi sering datang ke rumahnya untuk melepak.

Hubungan Utano dengan Uramichi boleh dikatakan saling memahami. Kedua-duanya mempunyai persamaan kerana mereka menggunakan alkohol sebagai cara untuk melupakan kekecewaan di tempat kerja dan kehidupan yang tidak memuaskan.

Lain pula dengan Iketeru yang mempunyai personaliti yang agak lurus dan agak lambat berfikir. Uramichi seolah-olah bersimpati dengannya sehingga dia bersikap lembut dan sering memberikan kata-kata positif yang sukar untuk difahami Iketeru. Walaupun begitu, kadang kala Uramichi mengusiknya kerana selera humor Iketeru yang kosong.

Boleh dikatakan bahawa Uramichi dan rakan sekerjanya mempunyai hubungan yang cukup memahami antara satu sama lain dan dibina di atas kesengsaraan bersama.

 

Sebab Uramichi membenci pekerjaannya

Setelah mempertimbangkan 4 aspek kepuasan kerja di atas, sebab Uramichi membenci pekerjaannya adalah:

  • Perlu berpura-pura ceria dalam keadaan emosinya yang tidak stabil
  • Terpaksa berdepan dengan soalan jujur dan menyinggung perasaan dari kanak-kanak
  • Rakan sekerja yang menjengkelkan
  • Majikan yang tidak ingin ambil tahu dan tidak mengambil kira permintaan orang bawahan
  • Majikan memintanya membuat kerja di luar job description
  • Majikan memintanya membuat kerja yang tidak masuk akal dan tidak bermanfaat
  • Rasa tertekan untuk menyenangkan hati majikan supaya tidak dipecat.

Tanpa menormalisasikan situasi-situasi yang dihadapinya, tekanan dan kesukaran yang dialami Uramichi adalah perkara biasa dalam dunia pekerjaan. Selain itu, keadaan emosinya yang cenderung untuk murung menjadikan kehidupan profesionalnya lebih sukar.

Cara Uramichi menangani tekanan dan kesukaran di tempat kerja adalah dengan merokok semasa rehat dan minum alkohol selepas bekerja. Selain itu, Uramichi juga menjadikan Usahara sebagai tempat meluahkan perasaan negatifnya, terutama apabila dia bertindak menjengkelkan. Tetapi semua itu bukanlah cara yang sihat atau berkesan untuk menangani masalah tersebut.

 

Sebab Uramichi tetap dengan pekerjaannya

“ Hari ini sangat menyeronokkan. Teruskan kerja yang baik, Oniisan ” - Bab 25

 

Walaupun membenci beberapa aspek tugasnya sebagai hos program pendidikan kanak-kanak, Uramichi terus melakukannya kerana dia tidak tahu apa yang dia inginkan dalam hidup. Di samping itu, Uramichi perlahan-lahan merasakan kasih sayang yang ikhlas daripada kanak-kanak secara tidak langsung membantu dia untuk lebih menghargai dirinya dan menemui makna dalam hidup. Dia juga perlahan-lahan membina hubungan yang lebih rapat dengan rakan sekerjanya.

 

 

3. Retsuko (Aggretsuko)

 

Retsuko dari siri Aggretsuko ialah seorang wanita berusia 25 tahun yang bekerja sebagai kakitangan akauntan di syarikat Carrier Man Trading Co., Ltd. Tugas utamanya adalah untuk mendokumenkan dan merekod kewangan syarikat. Pada mulanya Retsuko teruja untuk memulakan kehidupan barunya sebagai pekerja pejabat. Dia seorang pekerja yang sopan, bertanggungjawab, malah terkenal dengan reputasi sebagai ‘ budak baik’ yang sanggup mengikut apa sahaja yang disuruh oleh majikan atau pekerja atasannya.

Malangnya, ada yang perlu dikorbankan apabila seseorang itu menjadi ‘budak baikrsquo; iaitu identitinya. Individu yang dikenali sebagai ‘budak baik’ adalah seorang yang sentiasa memenuhi jangkaan orang lain dengan mengorbankan kesenangan dirinya sendiri sehingga tidak mengenali siapa dirinya, apa yang penting baginya dan apa yang dia inginkan dalam hidup. Pepatah bahasa Inggeris ada mengatakan jika seseorang itu tidak menentukan hidupnya sendiri, orang lain akan menentukan untuknya. Dalam dunia pekerjaan, orang yang tidak mengenal dirinya – tidak tahu layanan bagaimana yang layak atau tidak layak mereka terima, dan hanya tahu untuk mengikut arahan – akan menjadi sasaran mudah untuk diguna-gunakan oleh orang lain. Terutamanya orang yang suka mengambil jalan mudah dalam kerja untuk kepentingan diri sendiri akan melemparkan tugas mereka kepada ‘budak baik.’

Masuk tahun kelima bekerja, Retsuko mula rasa letih kerana sentiasa menjadi ‘budak baik.’ Dia mula rasa bosan dengan pekerjaannya sehingga memerlukan jalan keluar untuk meluahkan perasaan iaitu dengan karaoke death metal. Jeritannya dipenuhi dengan luahan fikiran dan perasaan yang selama ini tidak dapat disampaikan terus kepada orang yang terlibat. Retsuko yang keletihan secara fizikal dan mental akhirnya mula mencari jalan untuk berhenti bekerja.

 

Mari kita nilai 4 aspek pekerjaan Retsuko seperti berikut:

 

A. Jenis pekerjaan

Tugas Retsuko tidak dinyatakan dengan jelas, tetapi secara umumnya tugas utama seorang kakitangan akauntan adalah untuk mendokumentasikan dan merekod kewangan syarikat.

Watak Retsuko sebenarnya adalah gambaran stereotaip umum seorang pekerja wanita (atau dikenali sebagai office lady) di Jepun, baik dari segi peranan dan fungsi mereka di pejabat. Di Jepun, kebanyakan pekerja wanita lebih banyak diberikan "kerja meja" berbanding kerja lapangan. Bukan itu sahaja, malah mereka juga masih dijangka untuk melakukan tugas-tugas domestik seperti membuat teh/kopi sama ada untuk tetamu atau bos. Di kebanyakan negara lain, tugas ini biasanya dilakukan oleh pekerja yang memegang posisi tertentu seperti tea lady di UK, tetapi di Jepun ini tidak berlaku.



Secara umumnya, Retsuko mampu melakukan tugasnya dengan baik. Ada kalanya dia melakukan kesilapan, tetapi dia sentiasa dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan kepadanya. Dia diharapkan oleh pekerja senior dan pihak atasan sehingga terpaksa bekerja lebih masa untuk melakukan kerja yang diberikan kepadanya.

 

B. Gaji dan ganjaran

Gaji Retsuko tidak dinyatakan dengan jelas, tetapi berdasarkan gaya hidupnya dia mampu tinggal bersendirian di apartmen, membeli-belah untuk keperluan harian, membeli alkohol, karaoke, makan di luar bersama rakan sekerja di kafe, dan mengikuti kelas yoga. Ada masanya dia hanya mampu makan serbuk roti sebagai makanan tengahari yang diberikan percuma oleh kedai roti selepas dia memberikan wang sebagai hadiah perkahwinan kepada rakannya. Dia juga pernah kehabisan wang simpanan akibat berbelanja berlebihan untuk game dan mempunyai hutang untuk membayar kerosakan kereta akibat kemalangan.

Boleh dikatakan gaji sebagai kakitangan akauntan hanya cukup untuk menampung keperluan harian. Retsuko masih boleh memanjakan dirinya walaupun secara berpada-pada dan memerlukan pengaturan kewangan yang bijak. Mungkin boleh disimpulkan bahawa gaji Retsuko jenis yang hanya 'menumpang' dalam akaun setiap bulan.

  

C. Peluang kerjaya

Perkara ini tidak diceritakan dengan terperinci, tetapi biasanya dalam sebuah jabatan perakaunan, kakitangan perakaunan adalah jawatan paling bawah, dan jabatan di atasnya adalah pengurus perakaunan.Melihat ramainya pekerja senior dan jumlah pekerja dalam jabatan ini, boleh dikatakan Retsuko belum mempunyai peluang untuk naik ke jabatan yang lebih tinggi dalam waktu terdekat.

 

D. Hubungan dengan pihak atasan dan rakan sekerja

Pengarah Ton mempunyai beberapa kualiti peribadi yang saling bercanggahan.

Aggretsuko toxic boss

Pada satu sudut, pengarah Ton adalah seorang pemimpin dengan pandangan autoritarian, bersikap pilih kasih dan seksis. Beberapa kali dia ditunjukkan bahawa dia tidak suka melihat Retsuko tersenyum dan sengaja membuat hidup Retsuko sengsara dengan memberikan kerja orang lain kepadanya. Selain itu, dia juga sering memberikan tekanan mental kepada Retsuko tanpa sebab.

Namun pada sudut lain, pengarah Ton juga menunjukkan sifat kebapaan seperti memberi Retsuko nasihat hidup yang dia perlukan. Dia juga memberi kelonggaran apabila Retsuko tidak dapat bekerja.

Sifat bercanggah Pengarah Ton inilah yang menyebabkan Retsuko rasa serba salah. Kadang-kala Retsuko membencinya tetapi ada kalanya juga Retsuko berterima kasih kepadanya.

 

Aggretsuko supportive friends

Retsuko mempunyai rakan sekerja dengan sifat dan tingkah laku yang berbeza-beza.

Retsuko cukup rapat dengan rakan sekerjanya Feneko dan Haida. Feneko adalah seorang yang tenang dan rasional, manakala Haida bertimbang rasa tetapi tidak tegas. Mereka berdua cukup protektif terhadap Retsuko. Malangnya Retsuko tidak melihat mereka lebih daripada rakan sekerja.

Bukan sahaja dengan mereka yang sebaya ataupun satu pasukan dengannya, tanpa disangka Retsuko juga rapat dengan pekerja senior dari jabatan lain iaitu pengurus pemasaran Gori dan setiausaha CEO Washimi. Kedua-duanya lebih tua daripada Retsuko dan dianggap seperti abang. Mereka mendengar, memberikan pendapat, dan membantu Retsuko menyelesaikan masalah.

 

Aggretsuko toxic work officemates

Di samping itu, hubungan Retsuko dengan beberapa senior dan juniornya pula tidak begitu rapat. Tsubone, salah seorang senior Retsuko sering melemparkan kerja dan bersikap seksis terhadapnya, manakala Kabae suka bergosip dan bercakap tanpa henti. Junior Retsuko, Tsunoda, tidak menghormatinya sebagai senior. Dia suka mengambil hati pihak atasan sehingga Retsuko yang akhirnya terpaksa menanggung kerja-kerja dari Tsunoda.

Boleh dikatakan bahawa ada rakan sekerja yang membuatkan Retsuko tidak selesa, tetapi ada juga rakan sekerja yang agak mesra dan sedia membantunya apabila dalam kesusahan.

 

Sebab Retsuko membenci pekerjaannya

Selepas menilai 4 aspek kepuasan kerja di atas, sebab Retsuko membenci pekerjaannya ialah:

  • Kerja tidak pernah habis tapi gaji biasa-biasa sahaja
  • Bos dan rakan sekerja yang bersikap seksis, suka mencuri tulang dan mengambil remeh kerja
  • Persekitaran kerja yang toksik, majikan tidak menghormati dan sengaja menjatuhkan mental
  • Rakan sekerja yang suka bergosip

Boleh dikatakan persekitaran kerja Retsuko di jabatan perakaunan adakah tidak sihat. Di samping itu, ketidakupayaan Retsuko untuk meluahkan fikiran dan perasaannya yang sebenar, serta kesukaran untuk menolak kerja daripada rakan sekerja dan majikannya menjadikan kehidupan kerjanya lebih sukar.

Cara Retsuko menangani tekanan dan masalah kerja adalah dengan karaoke death metal. Selain itu, dia cuba mencari jalan keluar dari syarikat dengan mempertimbangkan pilihan kerja dalam bidang keusahawanan atau berkahwin dan menjadi suri rumah. Tetapi dia belum menemui pilihan yang benar-benar dapat membantunya.

 

Sebab Retsuko tetap dengan pekerjaannya

Akhirnya, walaupun membenci hampir semua aspek pekerjaannya sebagai kakitangan perakaunan, Retsuko masih melakukannya kerana dia tidak mengenali dirinya sendiri, tidak menemui apa yang dia sebenarnya inginkan dalam hidup, bimbang tentang pandangan orang lain, dan tidak ingin mengecewakan orang lain. Walau bagaimanapun, dia mula dapat mengatasi kehidupan kerjanya kerana dia perlahan-lahan membina hubungan yang lebih erat dengan beberapa rakan sekerjanya.



Akhir Kata  

Rasa bimbang, takut, kecewa, malah marah dan benci dengan perkara yang berkaitan dengan kehidupan pekerjaan adalah sesuatu yang normal. Tidak semua pekerjaan dapat memenuhi keperluan untuk melakukan tugas yang seseorang itu suka dan mahir dengan gaji yang lumayan.

Mungkin anda pada waktu ini berada dalam situasi yang sama dengan Nanami yang bertukar kerja dan perlu mempertahankan keputusannya, atau seperti Uramichi yang mengabaikan impian ibu bapanya dan mula menikmati apa yang dia lakukan, atau seperti Retsuko yang tidak tahu apa yang dia mahukan sebenarnya dalam hidup.

Di mana sahaja anda berada sekarang, tidak ada cara hidup yang betul atau salah. Apa pun pilihan anda, sentiasa ada akibat yang perlu dihadapi. Jika akhirnya penderitaan adalah sebahagian daripada kehidupan yang tidak dapat dielakkan, apa kata kita pilih sendiri penderitaan yang mana ingin kita hadapi?

 

 

Ditulis oleh: Balsa (Indonesia)

Seorang psikolog klinis dan penggemar anime manga. Relate dengan pribadi pahit Uramichi, hobi solo screaming karaoke di kala stres ala Retsuko, & bertanggung jawab tinggi seperti Nanami. Usaha mewujudkan mimpi dalam realita membawanya untuk terus menjalani proses healing dan belajar menertawakan hidup.

Artikel telah diedit oleh ZenMarket menjadi lebih simpel, bagi yang tertarik untuk membaca artikel asli secara terperinci silakan hubungi penulis melalu LinkedIn beliau pada link diatas.

 

~ Penterjemah ~

Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom. 
Lihat profil

 

 

 

 

Daftar sekarang dan dapatkan 300yen percuma!Pameran barang anime Jepun

 

 

 

Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩

 

 facebook  instagram  twitter

 

 

Artikel| 03/12/2021 |

 

Perkhidmatan Beli-Belah Jepun Anda!

ZenMarket ialah Servis Proksi Beli-Belah untuk Kedai Jepun & Bidaan, dengan Servis Penghantaran Antarabangsa. Lihat butiran tentang servis kami atau hubungi Khidmat Pelanggan di laman bantuan kami. Belum ada akaun beli-belah? Daftar akaun PERCUMA di sini dan dapatkan 500 ZenPoints percuma untuk pembelian pertama anda.

Lihat Item Popular