Carian dihidupkan, Tukar kedai
10% pulangan untuk Item Rakuten 23 April 16:00 - 27 April 16:00 JST BELI SEKARANG
ULANG TAHUN ZENMARKET KE-10 LIHAT LAGI

Gintama Utamakan Komedi dan Tema Kekeluargaan

Sebuah siri yang tidak terikat dengan unsur lazim shonen

Jika anda meminta mana-mana peminat Gintama untuk menerangkan kepada anda tentang siri ini, tentu ramai yang tidak akan dapat menjelaskannya dengan mudah.

Sebabnya adalah kerana Gintama adalah sebuah siri dengan amalgamasi pelbagai genre seperti komedi, sains fiksyen, aksi, dan drama.

image

Bagi peminat shonen yang memulakan siri ini dengan harapan untuk menyaksikan drama serta babak aksi semata-mata, mereka pasti akan dikecewakan serta merta kerana Gintama tidak terikat dengan unsur-unsur lazim yang terdapat dalam kebanyakan siri shonen.

 

Sebaliknya siri tentang samurai ini lebih banyak menggunakan komedi untuk menghubungkan barisan wataknya yang ramai dengan penonton. Dalam pada masa yang sama Gintama turut mengetengahkan keperibadian watak-watak yang tidak konvensional untuk menggambarkan realiti kehidupan sebenar agar penonton dapat mengaitkan diri dengan mesej yang disampaikan.

 

Apa yang dimaksudkan dengan Gintama?  

Berlatarbelakangkan zaman Edo di Jepun, golongan samurai mengalami kejatuhan selepas pemerintah menyerahkan kuasa mereka kepada makhluk asing atau ‘amanto’. Namun seorang lelaki, Sakata Gintoki yang masih memiliki jiwa samurai, cuba untuk setia kepada kod samurainya walaupun larangan pedang telah ditetapkan di Edo. Ditemani 2 orang remaja, Shinpachi dan Kagura, Gintoki menyediakan perkhidmatan ‘kerja-kerja ganjil’ yang dipanggil Yorozuya Gin-chan, sambil menerapkan kod samurainya dalam tugas. Di situlah bemulanya kisah di mana penonton mempelajari tentang apakah itu ‘Gintama’.

image

Gin Tama yang bermaksud ‘jiwa perak’ merujuk kepada kod samurai atau ‘bushido’ yang dipegang Gintoki. Dia tidak memiliki hati emas, sebaliknya jiwa Gintoki yang kental digambarkan sebagai berwarna perak seperti warna bilah pedang.

2021 menjadi tahun terakhir Gintama menghiburkan peminat sejak memulakan penerbitan dalam WSJ pada 2003. Walaupun siri ini telah melabuhkan tirai, ia masih menjadi topik hangat di kalangan peminat-peminatnya kerana impak yang ditinggalkan. Gintama mungkin tidak dilihat sebagai antara siri shonen paling popular di mata dunia walaupun dengan nama mangaka kegemaran pembaca Shonen Jump, Sorachi Hideaki pada muka depannya, tetapi ia adalah salah satu siri kesayangan majoriti peminat shonen yang lebih dewasa kerana keunikkan yang dibawa dalam siri itu.

 

Jom lihat antara keunikkan Gintama dalam memecah stereotaip shonen.

1.      Gintama banyak menggunakan parodi, jenaka kotor, dan ‘tsukkomi’ sebagai bentuk komedinya.

Parodi dalam Gintama memang tiada batas, dari budaya popular di timur hinggalah ke barat, semua menjadi bahan jenaka dalam siri ini. Antara parodi yang pernah disentuh dalam Gintama termasuklah siri-siri shonen yang lain seperti Bleach, Dragon Ball, One Piece, dan Doraemon, sementara parodi dari budaya popular barat yang pernah diungkit termasuklah Terminator, Rambo, Saw, Slumdog Millionaire, dan Donald Trump.

image

Jenaka kotor dalam siri ini pula merangkumi situasi yang melibatkan najis, seperti tidak dapat menahan perut yang memulas kerana panik, serta imej-imej seksual seperti Neo Armstrong Cyclone Jet Armstrong Cannon yang menyerupai alat sulit lelaki.

image

Sementara itu tsukkomi pula adalah sejenis teknik komedi yang melibatkan seorang watak lurus dengan peranan untuk menyindir lawak yang dibuat oleh watak kelakar atau ‘boke’. Boleh dikatakan hanya penonton yang familiar dengan budaya popular Jepun sahaja yang mudah memahami kebanyakkan jenaka yang cuba disampaikan. Ini sedikit sebanyak menjelaskan mengapa Gintama kurang popular di luar Jepun. Di sebalik jenaka-jenaka yang ditampilkan dalam setiap episod, terdapat juga drama dan aksi yang diselitkan tanpa mengalihkan tumpuan dari intipati utama siri itu. Walaupun dalam lengkuk cerita yang serius, Sorachi sentiasa mencari peluang untuk mengingatkan pembaca dan penonton bahawa Gintama adalah sebuah siri komedi.

image

 

2.       Watak utamanya, Sakata Gintoki  adalah seorang penganggur dan tiada keinginan untuk menjadi yang terhebat.

Tetapi apa yang dibawakan oleh Gintoki adalah sangat penting kerana tidak ramai watak utama siri shonen berperwatakan sepertinya. Gintoki menggambarkan masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan orang dewasa. Masa silamnya yang gelap dan dipenuhi kegagalan menjadikan dia seorang yang tidak bersemangat dan hanya gemar melepak di atas sofa sambil mengorek hidung dan membuat lawak, di samping bergelumang dengan tabiat-tabiat buruk lain. Walaupun pada usia 27 tahun, Gintoki masih taksub dengan majalah Shonen Jump dan dia sedar perkara itu memalukan. Dia juga suka menghabiskan duit dengan berjudi dan mabuk untuk melupakan masalahnya.

Ramai orang dewasa mempunyai tabiat yang sama seperti Gintoki, membuatkan wataknya sangat relatable. Sorachi sengaja menjadikan watak-wataknya penuh dengan kelemahan dan sifat negatif agar peminat shonen yang lebih dewasa dapat mengambil iktibar dari cara watak-watak Gintama mengharungi kehidupan mereka yang tidak sempurna.

image

 

3.       Pelbagai isu sosial disentuh untuk menunjukkan setiap individu mempunyai masalah dalaman sendiri dan bagaimana mereka berdepan dengannya.

Selain Gintoki dengan kegagalannya dalam menjadi ahli masyarakat yang berguna, kisah Shinpachi banyak menggambarkan diskriminasi yang dihadapi sebagai seorang otaku. Kagura pula adalah seorang ‘pendatang asing’ yang telah ditipu dan dilayan dengan buruk oleh orang tempatan dan perlu belajar menyesuaikan diri dengan gaya hidup di Bumi. Watak-watak lain juga bergelut dengan masalah dalaman sendiri, seperti Katsura yang tetap meneruskan perjuangan untuk menjatuhkan pemerintah Jepun selepas kalah dalam peperangan, walaupun rakan-rakan seperjuangannya yang lain telah move on. Otae, kakak kepada Shinpachi terpaksa bekerja keras sebagai ketua keluarga di samping perlu menghadapi gangguan seksual setiap hari. Rakan baik Otae, Kyubei pula mempunyai masalah identiti jantina selepas dibesarkan sebagai lelaki untuk menjadi waris klan Yagyuu, sementara Tsukuyo dijual ke rumah pelacuran sejak kecil dan terpaksa mengetepikan sifat femininnya agar tidak dilihat sebagai lemah.

image

 

4.       Kuasa persahabatan adalah tema yang penting dalam siri shonen, tetapi Gintama lebih mementingkan hubungan kekeluargaan.

Konsep keluarga pungut atau found family menjadi tema utama dalam Gintama untuk mengajar penonton bahawa keluarga bukan hanya terbina secara biologi, sebaliknya kesanggupan untuk berkorban, kesetiaan, persefahaman yang mendalam, saling ambil berat, serta toleransi antara satu sama lain juga dapat mengeratkan hubungan antara individu yang tiada pertalian darah.

Hubungan kekeluargaan adalah penting bagi Gintoki selaku watak utama. Dia merupakan seorang yatim piatu tanpa asal usul yang ditemui oleh Shoyou sensei, guru dan bapa angkatnnya ketika mencuri makanan dari mayat di medan perang. Selepas menyertai sekolah Shoka Sonjuku untuk mempelajari tentang ilmu samurai dari Shoyou, Gintoki bertemu dengan ramai kanak-kanak lain yang dianggap sebagai adik beradiknya sendiri. Namun keluarganya itu tidak kekal lama apabila peperangan dengan amanto membunuh Shoyou dan kebanyakkan rakannya yang lain. Gintoki juga pernah menyatakan rasa cemburu melihat orang lain mempunyai keluarga, tetapi sejak bertemu dengan Shinpachi dan Kagura, Gintoki akhirnya memiliki keluarga yang diidamkannya dan berjanji untuk tidak gagal dalam melindungi hubungan itu seperti mana dia pernah gagal dahulu.

image

 

5.       Tiada kuasa istimewa yang dapat melindungi watak-watak Gintama dari kegagalan.

Gintoki mungkin seorang samurai yang kuat dan berpengalaman, tetapi dia sentiasa berdepan dengan kegagalan. Bukan sahaja dia gagal menyelamatkan Shoyou ketika peperangan dengan amanto, malah dia juga gagal menyelamatkan rakan seperjuangannya pada akhir cerita. Tetapi apa yang menjadi contoh adalah usahanya untuk terus mengubah kelemahan diri sendiri. Daripada menjadi seorang yang dipenuhi dendam dan kebencian, kegagalan yang dihadapi Gintoki mendorongnya untuk memulakan ‘Yorozuya’ agar dia dapat membantu orang lain melindungi perkara berharga dalam hidup mereka.

Matlamat cerita Gintoki bukanlah untuk mengalahkan musuh yang memusnahkan keluarganya, tetapi untuk menunjukkan bahawa kegagalan tidak bermakna hidup seseorang itu perlu terhenti dan kita perlu menghargai apa yang ada di depan mata, satu mesej yang sangat penting terutamanya dalam budaya masyarakat Jepun yang sukar untuk menghadapi kegagalan.

image

Walaupun bahagian awal Gintama bersifat episodik tanpa plot yang jelas dan mengambil masa yang lama untuk tiba ke jalan cerita utama, siri ini mengetengahkan mesej yang bermakna sejak dari bab pertama. Ia bukan sahaja dapat membuat penonton pecah perut dengan lawak-lawak yang diterapkan, tetapi juga mampu membuat penonton menangis setelah kisah tragik watak-wataknya didedahkan. Bagi ramai peminat, Gintama adalah sebuah comfort anime pada mana mereka dapat berpaling apabila jiwa rasa tidak tenteram atau sekadar untuk menaikkan semangat. Tidak hairanlah ramai yang sayang dengan siri ini walaupun ia tidak berdiri sama tinggi atau duduk sama rendah dengan siri shonen lain.

 

~ Penulis ~

Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom. 
Lihat profil

 


 

 

 

Daftar sekarang dan dapatkan 300yen percuma!Pameran barang anime Jepun

 


 

Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩

 

 facebook  instagram  twitter

 

 

Artikel| 22/10/2021 | Anime/MangaAnime

 

Perkhidmatan Beli-Belah Jepun Anda!

ZenMarket ialah Servis Proksi Beli-Belah untuk Kedai Jepun & Bidaan, dengan Servis Penghantaran Antarabangsa. Lihat butiran tentang servis kami atau hubungi Khidmat Pelanggan di laman bantuan kami. Belum ada akaun beli-belah? Daftar akaun PERCUMA di sini dan dapatkan 500 ZenPoints percuma untuk pembelian pertama anda.

Lihat Item Popular