Pasangan anime dengan pembangunan hubungan romantik yang menarik
Dalam genre apa sekali pun tidak kira aksi atau komedi, seram mahupun tragedi, hubungan romantik adalah salah satu tema kesusasteraan yang paling kerap diterokai. Topik ini dapat digunapakai dalam segala bentuk naratif tanpa mengira zaman mahupun demografik audiens.
Anime dan manga juga tidak terkecuali, sebab itu ‘shipping’ atau menyokong hubungan antara 2 watak fiksyen adalah salah satu aktiviti wajib di kalangan peminat anime apabila mengikuti sesebuah siri.
Hubungan romantik sebagai subplot
Walaupun kebanyakan siri shonen bertemakan pengembaraan dan persahabatan, penonton turut berpeluang untuk mengikuti hubungan peribadi di antara dua watak yang biasanya diselitkan sebagai subplot.
Selain ingin melihat watak utama mencapai cita-cita mereka, sebahagian besar penonton pasti berharap pasangan kegemaran mereka akan menjalinkan hubungan istimewa pada akhir cerita.
Tetapi sayang sekali, kebanyakan mangaka shonen mengakui mereka tidak pandai atau tidak gemar menulis tentang hubungan romantik. Perkara ini terbukti apabila ada siri yang memasangkan watak-wataknya di akhir cerita tanpa pembangunan yang kukuh sepanjang siri berlangsung, sekali gus membuat penonton tidak puas hati.
Sementara itu hubungan yang masuk akal pula akan menjadi kayu pengukur kepada pasangan-pasangan lain, seperti 10 pasangan paling popular di bawah.
1. Edward x Winry (EdWin)
Terdapat banyak sebab Fullmetal Alchemist mendominasi carta anime terbaik di laman My Anime List selama lebih 10 tahun. Salah satunya adalah pembangunan hubungan romantik antara pasangan utama dalam siri itu, Edward dan Winry.
Ikatan Edward dan Winry bermula sebagai sahabat zaman kanak-kanak. Mereka tinggal berjiran dan membesar bersama-sama, sebelum persahabatan mereka bertukar menjadi hubungan yang lebih serius dan matang. Sebahagian besarnya adalah kerana Winry berperanan sebagai jururawat peribadi Ed setiap kali automailnya rosak dan perlu dibaiki selepas pertempuran.
Ed dan Winry melalui pelbagai situasi tragik bersama dan pengalaman-pengalaman itu merapatkan ikatan mereka. Winry ada di sisi Ed ketika dia menjalani pembedahan mekanikal selepas kehilangan kaki dan tangannya. Ed juga ada bersama Winry ketika dia berdepan dengan pembunuh ibu bapanya.
Tetapi boleh dikatakan sebab utama Edward dan Winry menjadi pasangan kegemaran ramai adalah kerana babak lamaran mereka berdua yang dianggap sebagai babak lamaran terbaik dalam shonen.
2. Inuyasha x Kagome (InuKag)
Salah satu pasangan paling ikonik dari siri shonen 90-an, Inuyasha dan Kagome berdepan pelbagai liku sebelum mereka dapat bersama ekoran daripada perbezaan latar belakang mereka, yang mana Kagome adalah seorang remaja dari zaman moden Jepun, sementara Inuyasha pula adalah manusia separa roh anjing dari zaman feudal Jepun.
Mereka juga tidak mesra apabila pertama kali bertemu kerana Kagome menyerupai Kikyo, kekasih lama Inuyasha yang menghianatinya.
Tetapi setelah terpaksa bekerjasama, Inuyasha dan Kagome semakin memahami antara satu sama lain dan mula melihat sisi baik dalam diri masing-masing. Walau bagaimanapun, Inuyasha tidak mudah membuka hatinya kepada Kagome kerana dia pernah dikhianati oleh orang yang dicintainya.
Hubungan antara Inuyasha dan Kagome terus terhalang apabila Kagome mendapat tahu tentang Kikyo dan menjadi cemburu, malah Inuyasha sendiri tidak dapat memilih antara mereka berdua.
Walaupun melalui pelbagai konflik, Inuyasha dan Kagome tetap bersatu di akhir cerita setelah mereka sedar mereka tidak dapat hidup tanpa satusama lain.
3. Kenshin x Kaoru (KenKao)
Sebuah lagi pasangan popular dari sebuah siri klasik, Kenshin dan Kaoru dari Rurouni Kenshin menjadi pasangan kegemaran ramai peminat anime hingga ke hari ini. Salah satu sebabnya adalah kerana kehalusan pembangunan hubungan cinta antara samurai dan pewaris dojo ini.
Tidak seperti kebanyakan pasangan anime lain, hubungan Kenshin dan Kaoru berpaksikan pada semangat kekeluargaan, membuatkan perasaan romantic antara mereka kurang ketara dan lebih natural. Walaupun Kenshin dan Kaoru mempunyai ideologi serta personaliti yang bertentangan, mereka akhirnya sedar bahawa perbezaan itu membawa keseimbangan dalam hidup mereka.
Ketika Kenshin tiada tempat tinggal dan arah tuju, Kaoru memberikannya rumah dengan membenarkan Kenshin tinggal di dojonya. Kehadiran Kenshin juga menjadi peneman kepada Kaoru yang keseorangan selepas kematian bapanya. Pasangan ini akhirnya berkahwin dan mempunyai seorang anak.
4. Sasuke x Sakura (SasuSaku)
Seperti mana Sasuke dan Sakura adalah antara pasangan anime yang paling banyak menimbulkan kontroversi, mereka juga merupakan pasangan dari Naruto yang mempunyai paling ramai shippers. Ini kerana sebagai salah seorang watak utama, sebahagian besar perwatakkan Sakura adalah tentang perasaannya terhadap Sasuke.
Sakura mula menaruh perasaan terhadap deuteragonis Naruto itu sejak mereka kecil kerana tertarik dengan dengan rupa dan kehebatannya. Namun perasaan crush itu bertukar menjadi ketaksuban sehingga dia sanggup menggadaikan persahabatan dengan rakan-rakannya, pendiriannya, dan keselamatannya demi Sasuke yang hanya mementingkan matlamat sendiri, dan langsung tidak menunjukkan minat terhadap Sakura.
Walaupun pada kesudahan cerita kedua-dua watak ini berkahwin, Sasuke dan Sakura masih mempunyai hubungan yang tidak begitu meyakinkan. Antara sebabnya adalah kerana kedua watak ini tidak banyak meluangkan masa bersama, selain personaliti Sasuke yang dingin juga membuatkan dia sukar untuk meluahkan perasaaan sebenarnya. Tetapi penyokong SasuSaku percaya Sasuke mempunyai cara tersendiri dalam menunjukkan bahawa dia sayangkan Sakura.
5. Ichigo x Rukia (IchiRuki)
Sebagai 2 wajah utama yang menghiasi muka depan Bleach, tidak hairanlah Ichigo dan Rukia menjadi gandingan kegemaran sebahagian besar peminat siri itu. Lagipun, Ichigo dan Rukia juga adalah dua watak paling penting sejak Rukia memberikan kuasa Shinigami kepada Ichigo pada permulaan cerita.
IchiRuki mempunyai chemistry dalam setiap adegan dan sering bertengkar seperti pasangan yang sudah berkahwin, secara tidak langsung menimbulkan ‘ketegangan’ dalam hubungan mereka.
Couple ini juga mempunyai banyak sifat bertentangan, seperti seorang tinggi lampai dan seorang kecil molek. Sifat kedua-dua mereka yang mewakili yin dan yang serta matahari dan bulan menandakan bahawa mereka adalah pasangan yang harmoni dan sejiwa.
Walaupun hubungan Ichigo dan Rukia paling diberi perhatian dan dibina dengan kukuh sepanjang siri itu berlangsung, pada akhir cerita kedua-dua watak ini ditakdirkan dengan watak yang lain. Sebab utamanya adalah kerana perbezaan dunia antara mereka berdua, yang mana Ichigo seorang manusia biasa dari Bumi manakala Rukia adalah Shinigami dari Soul Society yang boleh hidup lama.
6. Midoriya x Ochako (IzuOcha)
Boku no Hero Academia adalah siri shonen generasi baru yang mempunyai beberapa potensi pasangan untuk disokong kerana barisan wataknya yang ramai. Tetapi seperti juga kebanyakan siri lain, pasangan paling popular dari siri ini melibatkan watak utama dengan gadis yang menaruh perasaan terhadapnya.
Kedua-dua Midoriya dan Ochako adalah watak ‘budak baik’ dalam BNHA, membuat peminat terhibur menyaksikan interaksi mereka. Pada pertama kali pertemuan, Midoriya sangat teruja kerana Ochako bercakap dengannya. Ekoran daripada peristiwa tersebut, pewaris kuasa All Might ini tidak dapat mengalihkan perhatiannya dari gadis anti-graviti itu yang mesra dan baik hati. Lama kelamaan mereka semakin rapat dan menjadi kawan baik, malah Ochako juga mula menaruh perasaan terhadap Midoriya.
Midoriya dan Ochako mempunyai perwatakan yang sama seperti peramah, sopan, kuat semangat, dan mudah sensitif, menyebabkan mereka senang memahami satu sama lain dan saling menghormati. Walaupun hubungan mereka atas dasar suka sama suka, belum ada di antara mereka yang telah meluahkan perasaan. Peminat tentunya teruja mengikuti kesinambungan ‘cinta monyet’ dua hero ini.
7. Eren x Mikasa (EreMika)
Mereka yang mengikuti siri Attack on Titan dari awal pasti berharap agar kisah Eren dan Mikasa berakhir dengan persatuan mereka di penghujung siri itu setelah segala kesengsaraan yang mereka lalui. Apatah lagi kerana sebahagian besar perwatakkan Mikasa adalah berkenaan kesetiaannya terhadap Eren, tentunya penyokong EreMika inginkan kesudahan yang bahagia buat couple ini yang telah melalui pelbagai dugaan hidup bersama.
Kisah EreMika bermula apabila Eren menyelamatkan Mikasa dari penculik, seterusnya membalut selendang di leher Mikasa. Sejak daripada itu mereka tinggal bersama dan Mikasa berjanji untuk sentiasa melindungi Eren serta setia di sisinya.
Walaupun perasaan Mikasa kelihatan seperti hanya bertepuk sebelah tangan kerana Eren jarang berkongsikan perasaannya, kepentingan Mikasa dalam hidup Eren tidak dapat disangkal, sama ada sebagai adik angkat mahupun lebih dari itu. Hubungan antara dua watak utama ini adalah yang paling banyak menerima sokongan dari penonton.
8. Luffy x Hancock (LuHan)
Sesetengah siri shonen memutuskan untuk tidak memanfaatkan potensi hubungan romantik di antara watak-wataknya, namun perkara itu langsung tidak menghalang peminat dari mengkenen-kenenkan dua watak yang mereka rasa serasi bersama.
Salah satu contohnya adalah Luffy dan Hancock. Oleh kerana perasaan romantik adalah sesuatu yang rare di kalangan watak-watak One Piece, ramai pengikut siri itu percaya Hancock mempunyai potensi untuk dipasangkan dengan Luffy pada akhir cerita kerana perasaannya terhadap kapten kru lanun Straw Hat itu jelas diberikan tumpuan.
Luffy bukan sahaja mengubah persepsi negatif Hancock terhadap lelaki setelah melihat cara budak getah itu melayan perempuan dengan penuh hormat, tetapi kelurusannya untuk tidak mudah tergoda dengan kecantikan Hancock juga membuat Permaisuri Lanun tersebut melihatnya sebagai seorang yang istimewa.
Sebagai seorang wanita yang dingin serta tegas dan melihat semua lelaki sebagai musuh setelah dijadikan hamba di samping melalui pelbagai seksaan oleh Bangsawan Dunia, kehadiran Luffy mengubah sikap Hancock menjadi lebih lemah lembut. Reputasinya sebagai Pirate Empress dan pahlawan yang kuat juga mencadangkan bahawa dia dan Luffy berpotensi untuk menjadi power couple apabila Luffy menjadi Pirate King.
9. Okita Sougo x Kagura (OkiKagu)
Gintama adalah satu lagi siri Shonen yang tidak menumpukan pada pembangunan hubungan romantik, namun barisan watak yang ramai menghasilkan pelbagai potensi pasangan. Apa yang menariknya, hubungan paling popular dari siri ini tidak melibatkan watak utama. Sebaliknya pasangan yang membuat peminat tidak senang duduk adalah watak tritagonisnya, Kagura dengan Okita Sougo dari Shinsengumi.
Walaupun kedua-dua watak ini lebih menepati trop ‘persaingan’ berbanding percintaan, ia tidak menghalang penonton dari ingin melihat gadis alien dan pegawai polis ini bersama. Salah satu sebabnya adalah kerana perwatakan dan keperibadian mereka yang sehala, seperti mempunyai kekuatan fizikal yang luar biasa, mempunyai tabiat suka berlawan untuk membuktikan mereka paling kuat, dan sifat mereka yang sadistik dan suka membuat orang lain merana.
Kagura dan Sougo kerap bergaduh, tetapi dalam senyap mereka menghormati kekuatan masing-masing, mendorong kepada hubungan mereka sebagai rivals beransur-ansur menjadi rakan seperjuangan.
10. Vegeta x Bulma (VegeBul)
Hubungan-hubungan romantik dalam Dragon Ball boleh dianggap sebagai blueprint bagi kebanyakan pasangan shonen yang ada pada hari ini. Dari Goku dan Chichi kepadalah Krillin dan Android 8, setiap pasangan mempunyai pembangunan yang berbeza. Namun pasangan paling popular dari francais ini tentunya Vegeta dan Bulma.
Peminat siri ini mungkin yang tidak menjangka bahawa Vegeta akan dipasangkan dengan Bulma, tetapi setelah perkara itu didedahkan, mereka serta merta menjadi pasangan yang paling diminati. Walaupun cenderung bertengkar mengenai perkara-perkara kecil, Bulma menghargai Vegeta kerana sifat tanggungjawabnya melindungi keluarga mereka dari musuh manakala Vegeta juga mengakui tertarik dengan Bulma kerana sikapnya yang suka memerintah.
Apa yang turut membuat penyokong VegeBul cair dengan couple ini adalah kebolehan Bulma untuk mengawal Vegeta. Putera Saiyan ini mungkin seorang pahlawan yang kuat, tetapi dia tetap takut kepada isterinya.
Menjalinkan hubungan dengan Bulma juga sedikit sebanyak mengubah personaliti Vegeta yang egotistik kepada seorang yang lembut hati dan penyayang terhadap keluarganya, sekali gus membuat penonton menyokong dinamik yang sihat antara pasangan ini.
Pembangunan hubungan pada dasar yang realistik
Dari 10 pasangan popular ini, kita dapat simpulkan bahawa hubungan yang meyakinkan dibina pada dasar yang realistik seperti perasaan suka sama suka terhadap rakan seperjuangan, keserasian antara 2 watak yang kerap meluangkan masa bersama, atau 2 watak yang saling melengkapi kekurangan dan keperluan diri masing-masing.
Pasti ramai peminat shonen setuju bahawa elemen cinta romantik membuat cerita lebih dramatik, secara tidak langsung dapat memastikan penonton setia mengikuti sesebuah siri itu sehingga tamat untuk melihat jika couple kegemaran mereka akan menjadi pasangan rasmi.
Namun salah satu lumrah fandom juga adalah berhadapan dengan kekecewaan apabila hubungan romantik yang kita sokong tidak menjadi kenyataan atau lebih teruk, dipasangkan dengan watak lain pada akhir cerita.
~ Penulis ~
Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom.
Lihat profil
Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩