Daya tarikan luar biasa Gojo Satoru, watak JJK paling tampan dan kuat
Walaupun baru bersiaran selama satu musim, siri shonen Jujutsu Kaisen sungguh laris di kalangan peminat-peminat anime bagai pisang goreng panas. Bersandar pada babak pertempuran penuh aksi serta plot twist yang tidak kurang hebatnya, diperkukuhkan pula dengan animasi berkualiti tinggi oleh MAPPA, tidak hairanlah Jujutsu Kaisen mendapat tempat di hati penonton anime dalam sekelip mata.
Satu lagi faktor Jujutsu Kaisen begitu mudah sekali menjadi siri kegemaran ramai adalah kerana salah seorang watak utamanya, Gojo Satoru.
Saban hari fanart dan fanfic Gojo membanjiri internet dan setiap satunya dikongsikan puluhan ribu kali oleh peminat-peminat watak itu yang majoritinya adalah wanita. Sekali pandang, Gojo tidak banyak beza dari watak-watak anime berambut putih yang lain, seperti Kakashi dari Naruto atau Gintoki dari Gintama. Malah ada juga yang menggelarnya sebagai Killua versi dewasa.
Tetapi hanya mereka yang mengikuti Jujutsu Kaisen sahaja tahu betapa lain aura yang dibawa Gojo, sehingga peminat sendiri mempersoalkan apa yang membuatkan watak ini begitu mempesona.
Memiliki rare beauty
Tidak dapat dinafikan, watak yang tampan dan cantik sering menjadi motivasi untuk peminat anime setia mengikuti sesuatu siri itu. Jika kita perhatikan juga, watak utama biasanya diberikan signature look dengan daya tarikan tersendiri yang dapat kekal dalam fikiran penonton, sama ada aksesori yang cool seperti gogal, parut pada wajah, atau gaya rambut yang unik .
Bercakap tentang gaya rambut, pasti ramai peminat anime turut perasan bahawa rambut berwarna putih atau perak biasanya bertujuan untuk memberikan ciri-ciri ‘rare beauty’ pada sesuatu watak itu.
Itulah daya tarikan pertama yang dapat dilihat pada Gojo Satoru, sensei kepada 3 watak utama Jujutsu Kaisen iaitu Yuuji, Megumi, dan Nobara.
Mengenali diri guru ‘Tokyo Metropolitan Curse Technical College’ ini dengan lebih mendalam, Gojo berketinggian 190cm dan lahir pada tahun 1989. Usia Gojo yang mencecah lewat 20an juga menjadi satu sebab dia mempunyai begitu ramai peminat kerana penonton wanita lebih mudah membayangkan watak berkenaan sebagai teman lelaki mereka, atau meletakkan diri sebagai teman wanitanya.
Ketinggiannya sahaja sudah cukup untuk membuat sang gadis terpikat, tetapi aset sebenar Gojo tersembunyi di sebalik penutup mata yang dipakainya.
Gojo menutup matanya untuk mengelakkan diri daripada menerima semua maklumat visual di persekitarannya. Walaupun begitu, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berhadapan dengan musuh kerana sudah mahir bertarung tanpa melihat.
Penutup mata yang dipakainya secara tidak langsung membuatkan dia kelihatan penuh misteri, selain turut membuat orang di sekelilingnya tertanya-tanya apa yang ada di sebalik penutup mata tersebut.
Gojo jarang menunjukkan rupa sebenarnya dan perkara itu menghasilkan kesan psikologi dalam diri penonton yang dipanggil sebagai principle of shortage, di mana penonton meletakkan nilai yang tinggi pada sesuatu yang sukar untuk diperolehi.
Biasanya orang yang tahu mereka cantik akan memperagakan kelebihan mereka itu untuk mempengaruhi layanan yang mereka terima dari orang di sekeliling. Gojo walau bagaimanapun langsung tidak merasakan keperluan untuk menunjukkan aset termahalnya, iaitu matanya yang menawan.
Mata Gojo yang biru diibaratkan seperti langit yang terang, dihiasi pula dengan bulu matanya yang lebat, tidak hairanlah ramai wanita baik dari kalangan penonton mahupun dalam siri itu sendiri yang tergila-gilakan watak ini.
Tambahan pula, Gojo juga merupakan watak paling kuat dalam Jujutsu Kaisen dan dia sentiasa memastikan penonton tidak lupa tentang hal itu.
Seorang prodigy
Kebolehan Gojo Satoru dalam seni Jujutsu tidak harus dipandang rendah. Gojo terkenal dalam dunia Jujutsu sebagai pemantera paling kuat bukan sahaja pada waktu semasa tetapi dalam sejarah. Dia mendapat gelaran ini kerana jumlah tenaga sumpahan (Juryoku) yang dimilikinya. Tenaga sumpahan Gojo begitu banyak sehingga dia mampu menggunakan Pengembangan Domain berkali-kali sehari sementara pemantera lain hanya dapat menggunakannya sekali sehari.
Antara kuasa lain yang dimiliki Gojo adalah Teknik Sumpahan Mukagen (Limitless) yang terdiri daripada Jutsushiki Junten: Ao dan Jutsushiki Hanten: Aka.
Jutsushiki Junten: Ao (Cursed Technique Lapse: Blue) membolehkan dia menghasilkan vakum seperti lubang hitam di mana-mana sahaja dan menarik setiap objek atau musuh di sekitarnya untuk dimusnahkan.
Jutsushiki Hanten: Aka (Cursed Technique Reversal: Red) miliknya pula bertentangan dengan teknik sumpahan Junten di mana ia menghasilkan pusaran tenaga yang kuat bagi menolak musuh atau objek.
Mengaktifkan kedua-dua teknik tersebut dalam masa yang sama akan menghasilkan teknik Kyoshiki Murasaki (Hollow Purple), 'bebola gergasi' yang berupaya menghancurkan apa sahaja yang ada berhampirannya.
Rikugan (Six Eyes) adalah satu lagi teknik Jujutsu yang diwarisi Gojo dari klannya. Hanya pemantera yang dapat menguasai Rikugan sahaja mampu menggunakan potensi penuh Mukagen, tetapi Rikugan tidak diturunkan kepada setiap ahli klan Gojo. Dalam 400 tahun, Gojo adalah satu-satunya ahli klannya yang berjaya memiliki kedua-dua Rikugan dan Mukagen, membuktikan bahawa dia adalah seorang individu yang ‘terpilih’ dengan bakat semula jadi.
Rikugan memberi penglihatan tanpa had kepada Gojo, di mana dia mampu melihat dari jarak jauh dan melalui apa-apa rintangan. Matanya dapat menganalisa semua teknik sumpahan supaya dia dapat memutuskan teknik terbaik untuk menghadapi serangan.
Apa yang lebih mengkagumkan adalah Gojo mampu menggunakan semua teknik-teknik sumpahan yang dimilikinya dengan mudah. Kesemua kelebihan ini membuatkan dia mustahil untuk dikalahkan dalam pertarungan.
Selain memiliki kemahiran Jujutsu yang luar biasa, Gojo juga merupakan seorang prodigy dari segi kekuatan fizikal dan kemahirannya dalam pertarungan jarak dekat menggunakan pukulan dan tendangan biasa. Ditambah pula dengan kepakaran taktikalnya, terbukti di sini Gojo Satoru adalah seorang pemantera Jujutsu yang terlampau overpowered.
Berpewatakkan lelaki bad boy
Apabila bertanyakan kepada kaum perempuan apa yang membuat mereka tertarik kepada seseorang lelaki itu, ada yang akan menjawab penampilan sementara ada juga yang akan kata personaliti.
Anak emas JJK ini bukan sahaja memiliki kelebihan dalam kedua-dua aspek itu, malah dia juga handal dalam pertempuran. Jika difikirkan, tiada alasan untuk seseorang itu untuk tidak terpikat dengannya.
Personalitinya yang suka mendabik dada mungkin mengundang rasa menyampah dalam diri segelintir penonton, tetapi bagi kebanyakan wanita, sifat dominan itu secara tidak sedar membangkitkan naluri submisif mereka.
Sifat angkuh Gojo dalam melihat dirinya sebagai kebal terhadap apa sahaja tenaga sumpahan, dipadankan pula dengan kenakalan dan kelasakkannya, jelas Gojo membawa imej bad boy yang menjadi kelemahan ramai gadis.
Dengan ciri-ciri kepimpinan seperti dapat meluahkan pendapat dengan bangga, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, serta berani untuk mengambil risiko dan menyahut cabaran, tidak hairanlah Gojo Satoru berjaya meraih populariti kerana dia memiliki semua ciri-ciri lelaki idaman kebanyakan gadis.
Jika anda juga seorang peminat Gojo yang tidak puas menatap wajahnya pada skrin sahaja, anda boleh dapatkan figura, poster, plushie, mahupun kostum Gojo Satoru atau produk-produk Jujutsu Kaisen yang lain dari shop ZenMarket.
~ Penulis ~
Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom.
Lihat profil
Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩