Carian dihidupkan, Tukar kedai
15% CASHBACK UNTUK ITEM MERCARI: 16.04 4PM - 20.04 APRIL 4PM JST BELI SEKARANG
ULANG TAHUN ZENMARKET KE-10 LIHAT LAGI

4 SIRI SHONEN DENGAN WATAK PEREMPUAN BERKUALITI

8 Gadis Shonen Yang Bebas Dari Stereotaip Negatif

Antara rungutan yang kita sering dengar tentang siri shonen adalah kekurangan watak perempuan yang ditulis dengan baik. Sebab utama mengapa karakter perempuan yang ditulis dengan perwatakan berkualiti sangat sukar untuk ditemui dalam siri-siri shonen adalah kerana kebanyakan siri shonen ditulis dari pandangan lelaki.

Selalunya watak perempuan dalam siri shonen hanya digunakan sebagai alat untuk mengembangkan watak utama, sebagai fanservice untuk memenuhi fantasi lelaki, atau ditetapkan dengan perwatakan maskulin untuk babak pertempuran yang gempak semata-mata.

Stereotaip ini menghalang banyak watak perempuan dalam shonen dari mempunyai tujuan sebenar selain untuk kelihatan menggoda, mengagungkan watak utama, atau menangis apabila dalam kesusahan, secara tidak langsung membuat mereka kelihatan lemah, menjengkelkan, dan tiada keperibadian.

 

Ditulis sebagai alat untuk mengembangkan watak lelaki

Banyak heroine shonen ditulis dengan perwatakkan yang lemah dan terlalu bergantung kepada watak lelaki. Mereka tiada matlamat atau cita-cita sendiri selain untuk menjadi cheerleader dan melihat watak lelaki berjaya. Kehadiran watak perempuan seperti ini juga bertujuan untuk memberi watak lelaki motivasi dalam mengalahkan musuh, sekali gus membuat watak lelaki nampak hebat.

 

Ditulis sebagai fanservice untuk memuaskan fantasi

Selain itu, gadis-gadis shonen juga sering ditulis dengan potensi untuk menjadi teman istimewa watak lelaki, salah satu bentuk fanservice bagi memenuhi fantasi penonton lelaki seperti keinginan untuk dikelilingi gadis-gadis seksi, untuk menyelamatkan gadis yang mereka suka, atau untuk menjadi idaman ramai gadis cantik.

Terdapat beberapa siri shonen yang berjaya mengendalikan masalah ini dengan memberikan watak perempuan mereka kisah latar yang meyakinkan, menjelaskan motivasi mereka yang tidak berkait dengan watak lelaki, dan memberi mereka screentime serta babak aksi yang sama hebat dengan watak lelaki.

Tetapi dalam pada masa yang sama, watak-watak ini tetap tidak dapat lari dari bentuk-bentuk fanservice yang lain bagi menarik minat audiens lelaki, seperti perlu mempunyai fizikal yang menggoda, perlu bergantung kepada watak lelaki untuk percaya kepada kebolehan diri sendiri, dan digunakan sebagai damsel in distress.

 

Ditulis dengan ciri-ciri maskulin

Semakin banyak siri shonen generasi baru yang memberi kebebasan kepada watak perempuan mereka untuk melakukan apa yang watak lelaki lakukan, namun menulis watak perempuan dengan kemahiran pertempuran semata-mata untuk membuktikan bahawa mereka sama hebat dengan watak-watak lelaki memberi mesej bahawa wanita hanya boleh jadi hebat jika mereka bersifat maskulin.

Tidak dapat dinafikan, karakter wanita yang kuat dari segi fizikal dan dapat melibatkan diri dalam pertempuran memberi pengalaman yang memuaskan kepada penonton, tetapi ia juga mengetepikan ciri-ciri feminin yang diperlukan audiens wanita untuk mengaitkan diri mereka dengan sesebuah watak itu.

Ternyata sukar untuk kita menemui watak perempuan dalam siri shonen yang ditulis dengan sempurna tanpa mengetepikan keperibadian mereka, baik sebagai seorang individu mahupun sebagai seorang perempuan, tetapi 4 siri shonen ini berjaya menawarkan beberapa watak perempuan dengan ciri-ciri yang berkualiti.

 

Fullmetal Alchemist

1. Winry Rockbell

Walaupun salah seorang watak utama dalam Fullmetal Alchemist, Winry tidak mempunyai kemahiran bertempur menggunakan alchemy seperti kebanyakan watak-watak perempuan yang lain. Tetapi tugasnya sebagai mekanik merupakan salah satu peranan paling penting dalam Fullmetal Alchemist kerana tanpa pengetahuannya mengenai automail, Edward tidak akan mempunyai tangan dan kaki untuk menjadi seorang alchemist yang hebat.

Senarai semak kawalan kualiti:

Tidak terlibat dalam fanservice ☑

Bukan seorang damsel in distress ☑

Tidak mewakili kekuatan maskulin ☑

 

2. Riza Hawkeye

Boleh dikatakan semua watak perempuan dalam FMA adalah berkualiti tinggi kerana siri itu sendiri ditulis oleh seorang mangaka wanita, tetapi Riza tetap menjadi fan favourite bagi kebanyakan peminat. Seorang lagi watak perempuan yang tidak mempunyai kebolehan istimewa seperti watak alchemist yang lain, tetapi berjaya membuktikan bahawa dia sama hebat dalam pertempuran. Walaupun mempunyai personaliti yang tenang dan jarang menunjukkan emosi, Riza mempunyai hati yang lembut seperti bagaimana dia mudah mesra dengan haiwan dan watak-watak perempuan lain, selain turut menghalang Mustang dari tewas kepada kemarahannya.

Senarai semak kawalan kualiti:

Tidak terlibat dalam fanservice ☑

Bukan seorang damsel in distress ☑

Tidak mewakili kekuatan maskulin ☑

 

Attack onTitan

3. Historia Reiss

Bermula dari seorang yang tiada keyakinan dan kewibawaan diri, kepada seorang askar, kepada seorang ratu dan akhirnya seorang ibu, Historia dianggap sebagai watak yang melalui perubahan paling besar dalam Attack on Titan. Walaupun pada mulanya Historia dilihat sebagai anggota Survey Corps yang paling lemah, dia akhirnya bangkit untuk mengubah nasibnya dan masa depan Paradis Island. Mungkin Historia tidak sekuat anggota Survey Corps yang lain dari segi fizikal, tetapi kekuatan mentalnya dalam melalui segala jenis penyiksaan emosi adalah sesuatu yang sangat dikagumi.

Senarai semak kawalan kualiti:

Tidak terlibat dalam fanservice ☑

Bukan seorang damsel in distress ☑

Tidak mewakili kekuatan maskulin ☑

 

4. Hange Zoe

Kehadiran Hange memberikan keseimbangan pada barisan watak Attack on Titan yang penuh dengan kesengsaraan dengan sikapnya yang ceria. Walaupun sedikit gila-gila, Hange mampu membuat keputusan yang rasional, cepat dan tegas dalam situasi serius, dan dianggap sebagai mom of the group kerana sifat ambil beratnya. Kebijaksanaan dan sifat ingin tahu Hange bukan sahaja mendorongnya untuk menjadi komander bagi Survey Corps tetapi juga menjadi sebab utama Survey Corps berjaya dalam banyak misi-misi mereka.

Senarai semak kawalan kualiti:

Tidak terlibat dalam fanservice ☑

Bukan seorang damsel in distress ☑

Tidak mewakili kekuatan maskulin ☑

 

Gintama

5. Kagura

Tritagonis Gintama ini menolak semua stereotaip gadis shonen kerana personalitinya yang tidak sopan. Apabila bercakap tentang watak gadis remaja dalam anime, peminat akan membayangkan watak ‘loli’ yang comel, tetapi Kagura langsung tidak begitu. Dia terkenal dengan tabiat buruknya yang suka muntah, mengorek hidung, dan menghina orang dengan lidahnya yang tajam. Walaupun Kagura memiliki kekuatan fizikal yang luar biasa, kekuatan sebenarnya adalah menahan diri dari bertindak mengikut emosi agar dia tidak kalah kepada naluri sebenarnya.

Senarai semak kawalan kualiti:

Tidak terlibat dalam fanservice ☑

Bukan seorang damsel in distress ☑

Tidak mewakili kekuatan maskulin ☑

 

6. Shimura Tae

Pada pandangan pertama, Otae kelihatan seperti seorang gadis berperwatakkan Yamato Nadeshiko, tetapi hakikatnya dia adalah watak yang paling digentari dan dihormati semua orang kerana ketegasan dan kecekalannya. Walaupun baru berusia 18 tahun, Otae sangat matang dan menjadi inspirasi kepada orang di sekelilingnya. Dia juga merupakan satu-satunya watak perempuan utama yang tidak mempunyai kebolehan bertempur, tetapi perkara itu tidak menghalangnya dari mengangkat senjata dan mempertahankan diri. Apabila berada dalam kesusahan, Otae tidak akan menyerah, sebaliknya dia akan melakukan provokasi terhadap musuhnya untuk kekal setia kepada nilai dirinya.

Senarai semak kawalan kualiti:

Tidak terlibat dalam fanservice ☑

Bukan seorang damsel in distress ☑

Tidak mewakili kekuatan maskulin ☑

 

Jujutsu Kaisen

7. Maki Zenin

Maki merupakan salah seorang watak paling kuat dalam Jujutsu Kaisen walaupun dia bukan seorang pemantera dan tidak mewarisi tenaga sumpahan klan Zenin yang hebat. Keazamannya untuk tetap melibatkan diri dalam dunia sumpahan membuktikan bahawa usaha keras dapat menandingi bakat semula jadi, malah Nobara sendiri mengkagumi sikap dan pembawakan dirinya.

Senarai semak kawalan kualiti:

Tidak terlibat dalam fanservice ☑

Bukan seorang damsel in distress ☑

Tidak mewakili kekuatan maskulin ☑

 

8. Nobara Kugisaki

Sebagai salah seorang watak utama dalam Jujutsu Kaisen, Nobara membuktikan bahawa dia tidak kurang hebat dari rakan-rakan seperjuangan lelakinya dan mampu untuk mengalahkan musuh tanpa bantuan orang lain. Nobara juga mengambil inisiatif untuk menjadi lebih kuat dengan berlatih di bawah Maki daripada bergantung kepada rakan-rakan lelakinya. Walaupun mempunyai kemahiran untuk bertarung, Nobara tetap meraikan sisi femininnya dengan hobi membeli belah.

Senarai semak kawalan kualiti:

Tidak terlibat dalam fanservice ☑

Bukan seorang damsel in distress ☑

Tidak mewakili kekuatan maskulin

 

Di sini jelas bahawa gadis shonen yang berkualiti bukan sahaja bebas dari stereotaip negatif, tidak dijadikan alat untuk memenuhi kehendak dan cita rasa audiens lelaki sahaja, atau hanya memiliki kemahiran bertempur dan kekuatan fizikal semata-mata.

Sebaliknya watak perempuan yang ditulis dengan baik membuktikan kepada peminat bahawa perwatakan feminin yang realistik seperti merawat orang cedera, tabah menyara keluarga selepas kematian ibu bapa atau suami, tidak mudah patah semangat di samping berfikiran optimis agar orang lain tidak putus asa, menggunakan pengetahuan untuk memikirkan strategi, dan tidak mudah menyerah walaupun tanpa kemahiran bertempur, juga dianggap sebagai satu kekuatan yang membenarkan mereka untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan watak-watak lelaki yang lain.

 

 

~ Penulis ~

Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom. 

 


 

 
 
 
 
 
 
 

 

Jangan ragu-ragu untuk mengikuti kami ♩

 

 facebook  instagram  twitter

Artikel| 10/09/2021 | AnimeAnime/Manga

 

Perkhidmatan Beli-Belah Jepun Anda!

ZenMarket ialah Servis Proksi Beli-Belah untuk Kedai Jepun & Bidaan, dengan Servis Penghantaran Antarabangsa. Lihat butiran tentang servis kami atau hubungi Khidmat Pelanggan di laman bantuan kami. Belum ada akaun beli-belah? Daftar akaun PERCUMA di sini dan dapatkan 500 ZenPoints percuma untuk pembelian pertama anda.

Lihat Item Popular