Carian dihidupkan, Tukar kedai
10% pulangan untuk Item Rakuten 23 April 16:00 - 27 April 16:00 JST BELI SEKARANG
ULANG TAHUN ZENMARKET KE-10 LIHAT LAGI

POKÉMON V. DIGIMON, FRANCAIS MANA YANG LEBIH UNGGUL?

5 aspek tentang Digimon yang lebih baik dari Pokémon

Salah satu peperangan fandom paling hangat sekitar lewat 90an adalah antara pengikut Pokémon dan Digimon. Debat “Pokémon V. Digimon” adalah debat "Marvel V. DC" bagi kanak-kanak millennial. Kedua-dua francais ini menyebabkan pertumpahan darah di taman permainan apabila kanak-kanak pulang dari sekolah sambil berperang mulut tentang siapa lagi hebat, Ash atau Taichi.

image

Seperti Pokémon, Digimon adalah fandom pertama buat ramai golongan 90′s kids. Kanak-kanak pada zaman itu akan memaksa ibu bapa mereka membelikan Happy Meal di McDonald's hanya untuk mendapatkan kad koleksi Digimon.

Tetapi oleh kerana Pokémon yang muncul di kaca TV terlebih dahulu, ramai melihat Digimon sebagai peniru Pokémon

.

Walaupun dengan reputasi yang kurang menyerlah, di samping tidak mempunyai permainan video yang menjadi satu fenomena besar, Digimon sebenarnya adalah francais yang lebih unggul, menandingi Pokémon dalam hampir semua aspek lain.

image

Menjadi peminat Digimon membuatkan seseorang itu rasa seperti ahli sebuah kumpulan rahsia. Sepanjang tayangan ringkasnya di saluran televisyen tempatan, francais itu terperangkap di bawah bayang-bayang saingannya yang lebih kerap diiklankan dan lebih menguntungkan.

Menjadi peminat Digimon mungkin tidak dianggap cool, tetapi perkara itu tidak menghalang para peminatnya untuk setia dengan rancangan tersebut sehingga dewasa.

Dan kini setelah lebih 20 tahun, sudah tiba masanya kita sebagai masyarakat bertamadun untuk berhenti berbohong pada diri sendiri dan mengakui buat kali terakhirnya bahawa Digimon adalah siri yang jauh lebih baik dari Pokémon.

Digimon mengikuti pengembaraan sekumpulan kanak-kanak iaitu Taichi, Yamato, Sora, Koushiro, Mimi, Jyou, dan Takeru selepas mereka diculik dari Kem Musim Panas mereka dan dibawa ke ‘Dunia Digital’. Di sana, masing-masing bertemu dengan makhluk yang comel, dikenali sebagai Digital Monsters dan akhirnya memulakan misi untuk menyelamatkan Dunia Digital dan Dunia Nyata.

image

Apa yang membuatkan Digimon lebih superior dari Pokémon?

1. Watak

Keseluruhan premis Pokémon adalah usaha Ash Ketchum mengumpulkan semua makhluk Pokémon untuk menjadi ‘Pokémon Master’ terhebat di dunia. Jika dibandingkan protagonist dari kedua-dua francais popular ini, ‘kanak-kanak DigiDestined’ lebih banyak mengetengahkan isu praktikal dan psikologi yang berkait rapat dengan kehidupan realiti berbanding Ash.

image

Watak-watak Digimon mempunyai motivasi sebenar, pengalaman yang relatable, hubungan yang rumit dengan rakan sebaya, dan kisah latar belakang yang kompleks, sebahagian daripadanya berkaitan dengan unsur-unsur yang agak gelap bagi sebuah siri kanak-kanak. 

Contohnya isu yang dihadapi oleh Taichi apabila dia menjadi terlalu protektif terhadap adiknya Hikari kerana pernah menyebabkan Hikari masuk hospital, selepas memaksa kanak-kanak itu bermain bola sepak dengannya. Perceraian ibu bapa Yamato dan Takeru pula menimbulkan konflik dalam hubungan di antara kedua beradik itu yang menjadi renggang akibat hidup berasingan.

image

2. Makhluk

Tagline siri Pokémon, "Gotta Catch 'Em All!" cukup untuk menggambarkan bagaimana siri itu menekankan Pokémon sebagai makhluk yang perlu ditangkap dan dikumpul. Bukan sahaja idea itu tidak praktikal kerana jurulatih Pokémon hanya boleh membawa enam Pokéballs sekali gus dalam permainan, malah siri itu juga mencadangkan aktiviti menangkap makhluk Pokémon adalah satu hobi untuk menambah koleksi.

Bagi Digimon, makhluk-makhluk digital bukan sahaja dapat menyumbang kepada jalan cerita kerana mereka boleh bercakap, tetapi mereka juga makhluk yang bebas dan boleh membuat pilihan sendiri. Atas sebab itu sahaja, makhluk Digimon adalah lebih menarik dan kompleks dengan motivasi yang jelas dan boleh difahami. Mereka mempunyai dan ketakutan serta impian tentang masa depan di Dunia Digital yang boleh mereka komunikasikan kepada rakan manusia mereka.

image

Tambahan pula, kanak-kanak DigiDestined juga hanya dipasangkan dengan satu makhluk Digimon. Pasangan ini akan kekal bersama mereka sepanjang siri dan mereka perlu belajar untuk hidup saling bergantungan. Kekuatan makhluk Digimon juga bersandar pada personaliti rakan manusia mereka. Setiap kanak-kanak DigiDestined menggunakan sifat paling menonjol dalam diri mereka untuk memberi kekuatan kepada Digimon masing-masing ketika berhadapan dengan musuh. Dalam Digimon, makhluk digital dilayan sama taraf dengan watak manusia.

image

3. Evolusi

Dalam Dunia Digital, Digivolusi adalah satu proses yang tidak kekal, dan perkara itu penting dari segi penceritaan. Sebaliknya dalam Pokémon, evolusi adalah terhad dan kekal untuk makhluk-makhluknya. Sebab itulah Pikachu yang comel masih dengan rupa yang sama setelah 25 tahun. Sehingga kini dia masih belum berkembang menjadi watak yang lebih menarik dari segi fizikal mahupun personaliti, secara tidak langsung membuktikan keutamaan makhluk Pokémon adalah sebagai maskot bagi tujuan pemasaran.

image

Sementara itu, watak Digimon adalah lebih dari sebuah maskot. Mereka mempunyai ciri-ciri yang kompleks seperti dapat bertukar kembali ke bentuk yang lebih kecil setiap kali mereka kehabisan tenaga.

Agumon, Digimon milik Taichi mempunyai beberapa bentuk Digivolved seperti Greymon, dinosaur dewasa yang jauh lebih besar dari Agumon, MetalGreymon, dinosaur berperisai dan bersayap, WarGreymon, pahlawan naga dengan perisai krom, dan SkullGreymon, naga dalam bentuk rangka. Biasanya selepas pergaduhan besar, Agumon akan beralih semula ke bentuk In-Training iaitu Koromon. Perincian ini adalah sesuatu yang makhluk Digimon boleh jelaskan kepada rakan manusia mereka. Mereka mempunyai suara dan ilmu dalam sesuatu perkara dan bukan hanya untuk digunakan dalam pertempuran oleh rakan manusia mereka.

image

4. Antagonis

Seperti yang kita tahu, kekuatan sesebuah siri itu ditentukan oleh antagonisnya. Apa yang harus dilakukan oleh watak protagonis tanpa watak antagonis untuk mencabarnya?

Tetapi jika dibandingkan dengan musuh yang perlu dihadapi oleh protagonis Pokémon, musuh dalam Dunia Digital jauh lebih kuat dan menggerunkan buat kanak-kanak DigiDestined.

image

Watak jahat seperti Etemon, Devimon, Vamdemon dan Piedmon membuatkan Jessie, James dan Meowth kelihatan seperti satu gurauan. Digimon Kaiser, antagonis dari siri 02 pula ialah seorang kanak-kanak yang mengalami masalah psikologi berikutan kematian abangnya.

Tahap pencirian dalam menghasilkan watak antagonis seperti ini adalah jauh lebih maju dan matang daripada Team Rocket yang tujuan utama mereka hanya untuk membuat kanak-kanak ketawa. Jenaka tidak salah, tetapi di manakah drama yang dapat membuatkan kanak-kanak berfikir jauh?

image

5. Jalan cerita

Dengan serta merta, pertaruhan dalam Digimon lebih besar kerana ia melibatkan keselamatan serta nyawa watak-wataknya. Bukan sahaja kanak-kanak DigiDestined dibawa ke dunia yang ganjil, malah mereka diserang musuh yang tidak dikenali tanpa tahu cara untuk melindungi diri. Semuanya berlaku dalam episod pertama. Pertempuran dalam siri Digimon adalah pertarungan ‘hidup dan mati’, dan kematian di Dunia Digital juga akan memberi akibat yang sama di Dunia Nyata. 

Banyak situasi ‘dewasa’ perlu ditempuhi sekumpulan kanak-kanak yang berusia kurang dari 13 tahun, seperti berdepan dengan kematian rakan mereka dan membuat beberapa keputusan sukar. Itulah salah satu kekuatan terbesar Digimon, ia mencabar penonton ciliknya dan tidak melayan mereka seperti kanak-kanak.

Apabila Angemon mati, penonton menangis. Menangis untuk Takeru yang kehilangan pasangan Digimonnya, dan Angemon yang mengorbankan dirinya setelah melalui evolusi buat pertama kali. Pada ketika itu kebanyakan penonton muda belum pernah terjejas secara emosi oleh mana-mana rancangan TV, tetapi Digimon memberi mereka pengalaman itu.

image

Tidak seperti Pokémon, jalan cerita Digimon tidak diselesaikan dalam masa kurang dari 30 minit. Pada satu masa watak akan terpisah untuk beberapa episod. Terdapat ketegangan hubungan dan kerumitan dalam membuat keputusan secara berkumpulan. Digimon mempunyai permulaan, pertengahan dan juga penghujung, sesuatu yang Pokémon masih belum Berjaya capai.

image

Digimon juga membenarkan kanak-kanak DigiDestined membesar, ada yang berkahwin dan mempunyai anak, ada yang menjadi usahawan dan pengarang yang berjaya, tetapi yang paling penting, mereka semua dibenarkan melepasi pengembaraan zaman kanak-kanak mereka. Itulah yang menjadikan Digimon begitu istimewa.

image

Kesimpulan

Sehingga kini, 'Pocket Monsters' milik Nintendo tetap mempunyai pengaruh yang lebih besar dalam budaya popular, seperti yang dapat dilihat dengan permainan Pokemon Go! dan filem Detective Pikachu. Walaupun Digimon tidak begitu diingati atau diperkatakan, bagi kebanyakan kanak-kanak 90-an, merasai pahit getir pengembaraan dan membesar bersama kanak-kanak DigiDestined serta makhluk Digimon mereka adalah pengalaman yang cukup unik dan tidak dapat ditemui dalam mana-mana siri lain.

 

~ Penulis ~

Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom. 
Lihat profil

 

Artikel| 05/11/2021 | AnimeAnime/Manga

 

Perkhidmatan Beli-Belah Jepun Anda!

ZenMarket ialah Servis Proksi Beli-Belah untuk Kedai Jepun & Bidaan, dengan Servis Penghantaran Antarabangsa. Lihat butiran tentang servis kami atau hubungi Khidmat Pelanggan di laman bantuan kami. Belum ada akaun beli-belah? Daftar akaun PERCUMA di sini dan dapatkan 500 ZenPoints percuma untuk pembelian pertama anda.

Lihat Item Popular