World Trigger, Siri Shonen Paling Underrated.
Sistem kuasa adalah salah satu aspek paling penting yang peminat anime akan ambil kira apabila ingin memulakan sesuatu siri baru. Ia juga merupakan tulang belakang siri-siri Shonen yang popular. Seperti contoh Naruto ada chakra, Boku no Hero Academia memiliki quirk, Fullmetal Alchemist menggunakan alchemy, sementara Jojo Bizarre Adventure ada stand.
Boleh dikatakan kebanyakkan anime-anime popular memiliki sistem kuasa yang unik dan kompleks, sekali gus dapat memuaskan fantasi penonton untuk menyaksikan watak-watak kegemaran mereka menggunakan keistimewaan masing-masing bagi mengalahkan lawan.
Keperincian sistem kuasa juga perlu seiring dengan pertempuran strategik, pembinaan dunia yang kukuh serta watak-watak menarik, yang mana keempat-empat elemen ini dapat ditemui dalam siri World Trigger.
World Trigger adalah sebuah siri Shonen hasil penulisan Ashihara Daisuke yang telah memulakan penerbitan dalam Weekly Shonen Jump pada Februari 2013, sebelum ia menerima adaptasi anime pada tahun berikutnya. Namun setelah 160 bab dan 70 episod, World Trigger menghilang selama 2 tahun akibat masalah kesihatan mangakanya. Sejak 2018, World Trigger telah kembali menyambung penerbitan dalam WSJ sebelum berpindah ke Jump SQ, sementara musim kedua adaptasi animenya pula baru habis ditayangkan pada musim sejuk lepas.
Apa itu World Trigger?
‘World Trigger’ merujuk kepada produk teknologi yang asalnya hanya digunakan di dunia makhluk asing yang terletak di dimensi lain.
Kisah World Trigger bermula dengan pencerobohan makhluk asing yang digelar sebagai ‘Neighbor’ ke atas Mikado City. Neighbor menghantar pahlawan mereka untuk menculik manusia bagi mendapatkan sumber kuasa semula jadi yang dipanggil trion. Trion digunakan sebagai 'bateri’ bagi teknologi Trigger mereka.
Beberapa individu yang telah mempelajari tentang teknologi Trigger kemudian membangunkan teknologi Trigger mereka sendiri dan menubuhkan organisasi Border sebagai sistem pertahanan utama terhadap serangan Neighbor.
Kini, 3 ejen Border, Osamu Mikumo, Kuga Yuuma, dan Amatori Chika berusaha untuk menyertai sebuah ekspedisi ke dunia Neighbor dengan bimbingan mentor mereka, Yuuichi Jin. Matlamat utama Mikumo, Yuuma, dan Chika adalah untuk mencari ahli keluarga serta rakan-rakan mereka yang diculik oleh Neighbor.

Apa yang menjadikan World Trigger berbeza dari siri Shonen Jump yang lain dan patut diberi peluang adalah bagaimana ia mengendalikan watak, pembangunan dunia, sistem kuasa, dan strategi pertempuran dengan begitu teliti, walaupun jalan ceritanya dianggap klise manakala animasi juga bukanlah sisinya yang terbaik.
1. Barisan watak dengan skala kuasa dan perkembangan yang realistic
Sebagai siri yang bersifat character-driven berbanding plot-driven, barisan watak-watak dengan personaliti dan perkembangan yang realistik adalah salah satu tarikan utama World Trigger.
Protagonisnya, Osamu Mikumo langsung tidak seperti hero-hero ‘terpilih’ yang kita sering temui dalam siri Shonen. Sebaliknya, setelah lebih 200 bab, remaja berusia 15 tahun ini masih lagi dianggap sebagai watak paling lemah dari segi kemahiran pertempuran. Namun, kekuatan Mikumo yang terletak pada kepimpinannya yang strategik membuatkan dia sangat relatable dan turut dilihat sebagai pesaing hebat oleh ejen-ejen Border yang lain.

Kuga Yuuma sebagai deuteragonis pula mempunyai latar belakang yang tragik. Seusia dengan Mikumo walaupun terperangkap dalam badannya yang berusia 13 tahun, Yuuma adalah seorang Neighbor yang datang ke Mikado City untuk mencari jalan bagi menghidupkan semula bapanya. Selepas hilang punca hidup, Mikumo mengajak Yuuma menubuhkan skuad Tamakoma-2 agar mereka dapat bekerja dengan Border.

Heroine World Trigger adalah pelajar sekolah rendah yang comel bernama Amatori Chika. Walaupun kecil, badan Chika menyimpan jumlah trion yang luar biasa. Chika merupakan adik kepada guru tuisyen Mikumo. Selepas abangnya menghilangkan diri ke dunia Neighbor, Chika berada di bawah tanggungjawab Mikumo dan menjadi sebab Mikumo menyertai Border. Tahap trion Chika yang tinggi juga membuatkan dia sentiasa menjadi sasaran askar trion.

Ketiga-tiga watak ini dibimbing oleh Yuuichi Jin yang merupakan salah seorang ahli Border terawal. Jin menjadi inspirasi kepada Mikumo untuk melindungi Chika dari Neighbor setelah dia sendiri menyelamatkan Mikumo dari serangan askar trion. Jin dianggap sebagai ejen Border paling hebat kerana memiliki Black Trigger.
Selain 4 watak ini, watak-watak sampingan yang lain juga diberikan layanan yang sama seperti watak utama. Setiap karakter mempunyai mempunyai keperibadian yang unik serta gaya pertempuran yang khusus.
Jika anda seorang yang sangat tidak gemarkan perisai plot, anda pasti akan puas hati menonton World Trigger kerana tiada watak yang overpowered. Kekalahan dan kemenangan adalah lebih bergantung kepada susunan strategi, menyebabkan askar berpengalaman seperti Yuuma juga boleh dikalahkan.
2. Sistem kuasa yang terperinci tetapi mudah difahami
Pada asasnya, Trigger adalah produk dari teknologi makhluk asing atau neighbor yang wujud dalam pelbagai bentuk.
Di Bumi, teknologi Trigger telah di-reverse engineer dan digunakan oleh ejen Border sebagai senjata untuk melawan Neighbor. Setiap ejen Border memegang Trigger device yang membolehkan mereka menggunakan pelbagai jenis senjata berdasarkan kelebihan masing-masing.

Trigger device diaktifkan oleh trion, sumber tenaga biologi yang dihasilkan oleh organ halimunan dipanggil ‘kelenjar trion’. Kelenjar trion menyalurkan tenaga kepada Trigger device agar pengguna Trigger dapat mengaktifkan fungsi-fungsi Trigger mereka seperti pedang, pistol, mahupun perisai.
Trion wujud dalam setiap makhluk hidup, namun seseorang itu perlu mempunyai tahap trion yang cukup untuk berupaya menggunakan Trigger.
Selepas Trigger device diaktifkan, ejen dengan automatik akan bertukar ke dalam trion body iaitu mod pertempuran mereka, sementara tubuh fizikal mereka disimpan dalam Trigger holder.

Dalam badan trion, ejen boleh menampung serangan fizikal tanpa rasa sakit, namun setiap ‘luka’ pada badan akan menyebabkan kebocoran trion sehinggalah mereka kehabisan trion dan perlu kembali ke tubuh fizikal.
Ketika bertempur, ejen boleh menggunakan Trigger sebagai senjata, perisai, atau kelebihan kelebihan lain seperti teleport dan radar.
Trigger senjata terbahagi kepada 3 kategori iaitu Attacker, Gunner, dan Sniper. Setiap kategori mempunyai pelbagai pilihan senjata dengan ciri-ciri yang lebih terperinci mengikut kemahiran pengguna dan kesesuaian situasi pertempuran.
Berbeza dengan Trigger biasa yang diaktifkan oleh trion pengguna, Black Trigger pula adalah sejenis Trigger yang dihasilkan oleh pengguna Trigger dengan tahap trion yang tinggi apabila mereka menukar nyawa dan trion mereka ke dalam bentuk objek, sekali gus mengorbankan diri mereka dalam proses itu. Border mempunyai 4 pengguna Black Trigger termasuk Jin dan Yuuma.

Walaupun menggunakan teknologi yang sama, Trigger yang digunakan oleh ejen Border adalah berbeza dengan Trigger yang digunakan Neighbor. Selain sebagai senjata pertempuran, teknologi Trigger juga mempunyai banyak fungsi lain, malah ia merupakan tonggak peradaban dunia Neighbor.
Apa yang membezakan sistem kuasa World Trigger dengan kebanyakan anime lain adalah bagaimana ia lebih menitikberatkan kelemahan, had, dan akibat daripada kuasa yang digunakan berbanding kelebihan untuk mengalahkan musuh dan memberi kemenangan semata-mata.

Selain itu, konsep pertempuran seperti video game juga bermakna penonton boleh melihat watak kegemaran mereka ditikam, dibelah dua dan dipenggal kepala tanpa watak itu perlu benar-benar mati, satu pengalaman yang jarang ditawarkan dalam siri Shonen yang lain. Namun ciri itu tidak bermakna tiada risiko yang tinggi dalam pertempuran antara ejen Border dengan Neighbor. Malah ada watak yang pernah koma akibat diserang oleh Neighbor ketika berada di luar badan trionnya.

3. Pembangunan dunia yang kukuh
World Trigger mengambil tempat di Mikado City, sebuah bandar rekaan di mana pada suatu hari sebuah bangsa Neighbor yang tidak dapat dikenal pasti menggunakan teknologi Trigger mereka untuk membuka portal di bandar itu.
Mereka menghantar askar trion untuk menculik manusia bagi tujuan pengumpulan kuasa trion. Teknologi Trigger yang terlalu canggih tidak dapat dikalahkan menggunakan senjata manusia, menyebabkan ramai penghuni Mikado City yang terkorban.

Mujur sekumpulan manusia yang menggelar diri mereka sebagai Border tampil untuk menyelamatkan keadaan dengan menggunakan teknologi yang sama digunakan oleh Neighbor untuk mengusir askar-askar trion yang menyerang Mikado City.
Ekoran daripada peristiwa yang dikenali sebagai First Large-Scale Invasion itu, ibu pejabat Border ditubuhkan di Mikado City untuk terus membangunkan teknologi Trigger agar ejen mereka boleh melawan askar trion yang dihantar oleh Neighbor.

Ejen Border terdiri daripada anggota kelas S, kelas A dan kelas B yang dibayar, sementara anggota kelas C adalah pelatih tidak berbayar yang baru direkrut dan tidak dibenarkan terlibat dalam pertempuran di luar Border.
Ejen kelas A dan B masing-masing mempunyai skuad tersendiri, dan setiap skuad akan terlibat dalam rank battle untuk menentukan kedudukan pangkat dalam kelas. Oleh kerana hanya skuad terhebat dibenarkan untuk menyertai ekspedisi ke dunia Neighbor, matlamat Mikumo, Yuuma dan Chika adalah untuk menaikkan ranking skuad mereka ke posisi lebih tinggi agar mereka terpilih.
Ejen kelas S pula terdiri daripada pengguna Black Trigger yang tidak dibenarkan untuk menyertai rank battle kerana Trigger mereka yang terlalu berkuasa.
Kakitangan Border yang lain bertanggungjawab dalam memantau pembukaan portal di Mikado City, membangunkan teknologi Trigger, pengumpulan dana, dan mengatur ekspedisi ke dunia Neighbor.

4. Pertempuran strategik dan penuh perhitungan
Peminat Shonen memang tidak dapat dipisahkan dari rutin menilai peringkat kuasa watak-watak dalam siri Shonen kegemaran mereka.
Menetapkan power ranking dengan menilai watak mana yang lebih berkuasa mungkin memudahkan penonton untuk meramal keputusan sesuatu pertempuran, tetapi dalam World Trigger, penonton tidak perlu bersusah payah untuk menganalisa siapa yang lebih kuat kerana Border sendiri telah menetapkan ranking ejen-ejen mereka secara individu mahupun berkumpulan.

Ranking untuk ejen dari kelas A ditentukan secara individu melalui markah kemenangan pertempuran solo yang terkumpul, sementara ranking untuk ejen dari kelas B ditentukan secara berkumpulan melalui pertempuran dalam rank battle.
Rank battle adalah perlawanan rasmi yang disertai ejen-ejen Border sebagai latihan dan untuk meningkatkan kedudukan mereka.
Skuad yang ingin menyertai rank battle perlu mempunyai 2 ke 5 orang ahli termasuk operator, dan setiap ahli mempunyai posisi masing masing sama ada operator, attacker, gunner, atau sniper.

Kebanyakan ejen mempunyai gaya pertempuran mereka yang khusus yang akan cuba difahami oleh pasukan-pasukan lawan untuk menyusun strategi sebelum pertempuran bermula.
Mengikuti rank battle dalam siri ini tidak ubah seperti menyaksikan perlawanan bola sepak atau badminton kerana kita dapat merasakan debaran ahli skuad dalam cuba membaca gerak geri ahli pasukan lawan, di samping menyusun strategi terbaik mengikut persekitaran medan pertempuran mereka.
Walaupun mengandungi banyak elemen-elemen Shonen, populariti World Trigger adalah yang paling rendah di kalangan semua siri-siri Shonen yang lain. Lagu pembukaan untuk musim kedua animenya yang telah dipersembahkan oleh kumpulan Kpop terkenal, TXT sedikit sebanyak memberikan publisiti kepada siri itu sejak ia kembali ke skrin televisyen.
Hakikatnya, World Trigger mempunyai penulisan yang mantap bukan sahaja dari segi pembangunan dunia dan sistem kuasa yang kompleks, tetapi juga kepelbagaian watak-watak yang dinamik, setanding dengan anime-anime popular seperti My Hero Academia dan Demon Slayer. Malah, mangaka Jujutsu Kaisen, Gege Akutami sendiri adalah seorang peminat World Trigger.
Penampilan seiyuu-seiyuu legenda seperti Nakamura Yuuichi, Shimazaki Nobunaga, Sugita Tomokazu, dan Kugimiya Rie juga adalah satu lagi sebab mengapa anda patut mengenali dengan lebih dekat watak-watak World Trigger.
Pada ketika ini siri manga World Trigger masih lagi berterusan dan diterbitkan secara bulanan. Jika anda ingin catch up dari bab-bab awal, anda boleh dapatkan siri World Trigger dari Zenmarket dalam bentuk manga atau DVD, sementara menunggu musim ketiga animenya yang akan mula disiarkan bulan depan.
~ Penulis ~
Nabilah, pemegang ijazah kewartawanan yang giat dalam dunia fandom.
Lihat profil
Hubungi kami di Media Sosial
Adakah anda telah mendaftar di ZenMarket?